Pas malam ini mengumumkan akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson pada 13 Oktober ini.
Pas malam ini mengumumkan akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson pada 13 Oktober ini.

KUALA LUMPUR – Jawatan Exco Kerajaan Negeri Selangor yang disandang oleh tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas tidak boleh dilucutkan sewenang-wenangnya kerana mereka telah diikat dengan bai’ah sejak pilihan raya lalu.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, setiap calon Pas yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) atau mana-mana pilihan raya diwajibkan mengangkat sumpah taat tersebut termasuk ketika memegang jawatan dalam kerajaan.

“Setelah mereka menang, terus diikat dengan bai’ah. Inilah jawatan Exco yang dipegang oleh ADUN Selangor yang tidak boleh diberhentikan dengan sewenang-wenangnya, bukan dengan mencabut secara mudah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Isu status jawatan Exco Pas timbul selepas Majlis Syura Ulamak Pas pada minggu lalu memutuskan tahaluf siyasi dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) susulan pelanggaran syarat kerjasama politik itu sejak dua tahun lalu.

Antara pelanggaran itu ialah PKR bukan sahaja tidak menyokong, malah menentang usaha Pas meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi juga memberi amaran kepada Pakatan Harapan Selangor agar tidak bermain politik semata-mata tanpa mengambil kira komponen sistem pemerintahan ketika menubuhkan Kerajaan Negeri Selangor.

“Peristiwa Tan Sri Khalid Ibrahim dipecat dan Langkah Kajang yang salah tidak boleh melompat parit kerana mahukan cita-cita politik ‘mee segera’ yang membebankan rakyat dan Sultan Selangor sepatutnya menjadi pengajaran,” katanya.

Ahli Parlimen Marang itu juga menegaskan Pas mengadakan tahaluf siyasi dengan pihak lain dalam perkara yang tidak melanggar sempadan dasar dan matlamatnya.

“Tahaluf Siyasi terbatal apabila ada pihak yang sengaja membatalkannya kerana tidak boleh menerima walaupun secara persefahaman disebabkan oleh sikap bermusuh terhadap Pas yang berpegang teguh dengan Islam.

“Inilah pendekatan DAP sendiri kerana menolak konsep negara Islam, syarat mewajibkan kepimpinan negara seorang beragama Islam, menentang segala usaha Pas untuk melaksanakan syariat Islam walaupun kepada penganut Islam sahaja dan membelakangkan Institusi Raja kerana mengikut selera politik mereka,” katanya. – MalaysiaGazette