Ahmad Maslan
Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Datuk Ahmad Maslan tidak akan mendiamkan diri lagi dalam isu-isu tertentu oleh pihak-pihak yang menjadikan dirinya sebagai bahan jenaka di media sosial.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Pontian itu akan bertindak tegas terhadap mereka yang melampaui batas dengan memfitnahnya sesuka hati.

Katanya, #AdaAkuKisah yang digunakan di Twitternya tidak wajar untuk dijadikan sebagai peluang oleh pihak-pihak tertentu untuk menghentam beliau di media sosial.

“Hashtag yang saya gunakan selama ini hanyalah untuk dalam situasi insinuation (sindiran) sahaja.

“Tapi kalau mereka fitnah, memang saya kisahlah. Kalau sekadar perli-perli atau sindiran biasalah, orang politik mana yang tak disindir.

“Kalau yang itu saya akan kata ‘ada aku kisah’. Tapi kalau fitnah ‘aku akan kisah’,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas merasmikan Seminar Etika Media Sosial (E-Mas) anjuran Biro IT UMNO di PWTC semalam.

Justeru, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu memberi amaran kepada pihak-pihak yang berterusan menjadikan dirinya sebagai sasaran dalam apa jua bentuk agar memikirkan implikasi ke atas tindakan mereka itu.

Katanya, beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman pihak terbabit bagi memberi pengajaran serta menghentikan fitnah yang berleluasa di media sosial. – MalaysiaGazette