Laporan Malaysia Nanban mengenai penduduk Sungai Siput yang mahu Datuk Seri Dr. S. Subramaniam bertanding di kawasan Parlimen itu.

KUALA LUMPUR – Penduduk Sungai Siput, Perak khususnya masyarakat India mahu Presiden MIC bertanding di Parlimen kawasan itu pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Mereka mahu Datuk Seri Dr. S.Subramaniam bertanding di kerusi panas yang pernah menjadi kubu kuat BN selama 33 tahun di bawah bekas presiden keenam parti itu, Datuk Seri S. Samy Vellu, lapor Malaysia Nanban.

Presiden keempat MIC, mendiang Tun V.T Sambanthan dan Samy Vellu pernah bertanding dan menjadi melakar sejarah di Sungai Siput.

Oleh kerana kerusi itu menjadi kebanggaan BN menerusi dua pemimpin berpengaruh MIC pada era 70-an, maka adalah wajar Subramaniam selaku menteri Kabinet bertanding dan merampas semula kerusi itu daripada pembangkang.

Ia juga dikatakan merupakan hasrat pengundi Melayu dan Cina yang mahukan perubahan besar di kawasan itu.

Sambanthan bertanding di kerusi Kinta Utara pada tahun 1953 selepas menjadi presiden MIC sebelum kawasan Perlimen itu ditukar nama kepada Sungai Siput.

Beliau terus menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut sebelum berundur pada 1973.

Samy Vellu yang mengambil alih tampuk kepimpinan parti pada 1974 turut bertanding di Sungai Siput sehingga 2008.

 

Bagaimanapun, sejak dua PRU lalu BN gagal merampas semula kerusi panas itu daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Namun kini masyarakat majmuk di Sungai Siput percaya dan berkeyakinan tinggi kerusi Parlimen kawasan tersebut boleh menjadi milik MIC menerusi Subramaniam.

Mereka mahu Subramaniam melepaskan kerusi Parlimen Segamat dan bertanding di Sungai Siput pada PRU 14.

Sekiranya Subramaniam tidak dapat bertanding di kerusi itu, hanya anak tempatan itu sahaja yang mampu merampas semula.

Jika MIC tidak mengutamakan anak tempatan dan menurunkan calon ‘payung terjun’ dari luar MIC terpaksa melupakan Sungai Siput sebagai kerusi tradisi BN selama-lamanya. – MalaysiaGazette