KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen akan melakukan siasatan terperinci berhubung dakwaan ada pegawainya melakukan kekerasan terhadap tahanan di pusat tahanan sementara.

Menerusi kenyataan hari ini, jabatan itu menegaskan, tidak berkompromi dalam hal tersebut sebaliknya akan mengambil tindakan tatatertib berdasarkan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan & Tatatertib) Pindaan 2002 jika terbukti pegawai terbabit bersalah.

“Merujuk kepada laporan di portal berita The Guardian bertarikh 16 Mei 2017 tentang dakwaan tahanan warga Rohingya yang mendapat layanan tidak memuaskan berhubung isu pemberian makanan dan minuman serta dakwaan pegawai depot menggunakan kekerasan ke atas tahanan yang telah dipetik oleh beberapa media tempatan.

“Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah mengambil tindakan serta merta dengan menjalankan siasatan terhadap dakwaan ini,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, jabatan berkenaan mengambil perhatian serius terhadap isu kematian tahanan di dalam depot Imigresen.

Sebagai langkah awal, pmbantu perubatan di depot akan membuat saringan kesihatan fizikal tahanan semasa proses penerimaan tahanan yang diserahkan ke depot oleh Jabatan ini dan lain-lain agensi.

“Bagi tahanan yang menghadapi masalah kesihatan, tahanan akan dihantar ke klinik kesihatan atau hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan susulan.

“Mengikut rekod Jabatan, kebanyakan kematian tahanan di depot tahanan Imigresen adalah disebabkan oleh penyakit kritikal atau penyakit berjangkit yang dihadapi oleh tahanan sebelum ditempatkan di dalam depot tahanan imigresen,” ujar kenyataan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan imigresen menjelaskan, urusan pemberian makanan dan minuman di depot tahanan dikendalikan oleh kontraktor yang dilantik oleh Kementerian Dalam Negeri dengan syarat-syarat dan pemantauan yang ketat.

Katanya, tahanan di depot sementara akan diberi makanan dan minuman pada waktu yang ditetapkan sebanyak empat kali sehari serta mereka boleh merujuk kepada pegawai yang bertugas jika memerlukan makanan atau minum yang lebih dari waktu makan yang ditetapkan. – MalaysiaGazette