NEW YORK – Harga minyak jatuh berikutan lebihan bekalan meskipun OPEC menghadkan pengeluaran untuk menstabilkan semula harga bahan bakar itu.

Niaga hadapan Brent jatuh 0.4 peratus kepada AS$52 setong manakala West Texas Intermediate AS$48.88 setong, jatuh 0.4 peratus.

Pentadbiran Maklumat Tenaga Amerika Syarikat berkata, inventori mentah turun sebanyak1.8 juta tong pada minggu hingga 12 Mei kepada 520.8 juta tong.

Walau bagaimanapun, pengeluaran adalah lebih kecil daripada yang dijangkakan dan banyak peniaga berkata masih banyak minyak dalam sistem berbanding yang boleh diserap oleh pasaran.

Bekalan minyak keseluruhan kekal mencukupi dengan jumlah besar minyak mentah dari Amerika Syarikat dan pengeluar lain yang dihantar kepada pengguna besar di utara Asia, melemahkan usaha OPEC untuk mengawal pasaran.

OPEC dan beberapa pengeluar lain termasuk Rusia telah berjanji untuk mengurangkan pengeluaran sebanyak hampir 1.8 juta tong sehari pada separuh pertama tahun ini dan perjanjian itu mungkin akan dilanjutkan sehingga akhir Mac 2018 .

Data perkapalan di Thomson Reuters Eikon menunjukkan eksport minyak Amerika Syarikat ke Asia telah meningkat daripada hanya segelintir kapal tangki setiap suku sepanjang 2015 dan 2016, kepada 10 tangki pada suku pertama tahun ini.

Angka itu dijangka meningkat pada suku kedua.

Penghantaran minyak Laut Utara ke Asia juga mencatatkan rekod tinggi tahun dengan dengan hampir 19 tangki didaftarkan telah membuat penghantaran pada suku pertama dan jumlah sama dijangka ke Asia pada suku kedua. – MalaysiaGazette