Bekas pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Kamarulazman Habibur Rahman bercakap pada sidang media khas berkaitan pengumumannya meletakkan jawatan keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 19 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Bekas pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Kamarul Azman Habibur Rahman membayangkan bekas partinya itu akan karam sebelum palu gendang Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) diketuk Barisan Nasional (BN) tidak lama lagi.

Ini kerana menurut beliau, perpecahan dalam PPBM semakin terserlah apabila semakin ramai ahli parti tersebut lari meninggalkan parti itu biarpun belum berada di medan PRU14.

“Saya berpendapat bahawa ‘kapal’ ini akan karam sebelum PRU14 nanti.

“Mungkin pada peringkat awalnya jika mereka menyedari dan mengakui hakikat bahawa ada sesuatu yang tak kena kepada bahtera parti ini dan mereka membuat sesuatu, tetapi nampaknya mereka tidak membuat apa-apa tindakan yang baik,” kata Kamarul Azman.

Malah katanya, kebanyakan ahli yang keluar parti adalah disebabkan pemimpin atasan sudah hilang hala tuju dan mempunyai kepentingan peribadi daripada membela nasib rakyat.

Kamarul Azman bertindak meninggalkan PPBM sebulan lalu atas alasan kecewa dengan amalan kronisme dan pilih kasih dalam parti yang teraju Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Susulan tindakannya itu, beliau turut mengumumkan peletakan kesemua jawatannya di dalam parti, termasuk sebagai ahli majlis pemimpin tertinggi PPBM dan Setiausaha Kerja PPBM pusat.

Antara lain Kamarul Azman berkata, sikap pemimpin PPBM yang bekerja untuk jawatan serta kedudukan, malah melayan kumpulan yang bekerja keras demi parti dengan ‘layanan kelas kedua’.

Sebelun ini, Pengerusi Gabungan Kepimpinan Celik Minda (GKCM) itu berkata, amalan kronisme yang menjadi punca beliau keluar PPBM sepatutnya tidak disangkal oleh pemimpin parti yang baru ‘setahun jagung’ itu. – MalaysiaGazette.