Siti Nurhaliza berswafoto dengan peminat-peminatnya semasa majlis portluck sempena Ramadan 2017 anjuran kelab peminatnya, Sitizone di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Penyanyi popular, Datuk Siti Nurhaliza mengucapkan tahniah kepada pasukan Kedah yang menjulang Piala FA selepas menewaskan negeri kelahirannya, Pahang dengan kemenangan 3-2 malam tadi.

Siti yang berasal dari Kuala Lipis turut berbangga dengan kejayaan Lang Merah itu kerana menganggap sebahagian dirinya juga dari negeri itu.

“Semua orang tahu, suami Siti berasal dari Kedah. Sebelum perlawanan akhir malam tadi, Siti ada usik-usik suami juga sebab kami dari negeri berlainan.

“Cuma Siti semalam tidak sempat menonton semalam kerana tidak sempat.

“Cuma kecoh dalam kumpulan Whatsapp berbasikal, Siti dan rakan-rakan berbalas pesanan dengan isteri-isteri yang bersuamikan orang Kedah,” katanya tersenyum.

Siti ditemui pada majlis portluck sempena Ramadan 2017 anjuran kelab peminatnya, Sitizone di sini hari ini.

Malam tadi, skuad kendalian Mohd. Nidzam Azha menjulang Piala FA apabila menundukkan Skuad Tok Gajah dalam perlawanan akhir yang mendebarkan di Stadium Shah Alam.

Beraksi di depan hampir 80,000 penonton, Kedah terpaksa berhempas pulas untuk menang biarpun berdepan Pahang yang bermain 10 orang.

Sementara itu, pada majlis sama, Siti turut mengotakan janjinya untuk menyanyi lagu Hang Pi Mana nyanyian asal Khalifah jika Pahang kalah dalam perlawanan akhir itu.

Esok Siti akan menyanyikan lagu tersebut secara langsung di stesen Radio Era dalam segmen JoHaRa. – MalaysiaGazette