resignation IRB CEO Najib Razak Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah
Datuk Seri Sabin Samitah
PETALING JAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menafikan mengambil tindakan yang menyasarkan peniaga keturunan Cina.
Penafian itu dilakukan pada ketika beberapa syarikat Cina termasuk yang melibatkan tokoh korporat kaum itu dikenakan tindakan oleh badan pengutip cukai tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Sabin Samitah menegaskan bahawa pihaknya mengambil tindakan ke atas sesiapa sahaja yang berhutang, lari cukai atau lewat dalam menjelaskan cukai.
“LHDN memilih sasaran siasatan berdasarkan pertimbangan dan analisis yang objektif.
“Tidak wujud unsur kaum atau politik dalam tindakan yang diambil,” katanya kepada Sinchew Daily.
Akhbar itu melaporkan sesetengah perniagaan Cina telah mengadu tindakan penguatkuasaan oleh LHDN kepada MCA dan Gabungan Dewan Perniagaan dan Industri Cina Malaysia (ACCCIM).
Aduan itu dibuat selepas beberapa syarikat termasuk milik individu keturunan Cina terkenal dikenakan tindakan oleh LHDN.
Setiausaha Agung ACCCIM, Datuk Low Kian Chuan berkata, peniaga-peniaga Cina dikenakan audit untuk akaun yang lama termasuk yang melebihi tujuh tahun ke atas.
Kian Chuan berkata, beliau berharap LHDN memberi peluang kepada peniaga terbabit kerana kesalahan yang berlaku biasanya berbentuk teknikal yang tidak disengajakan.
Katanya, syarikat tertentu umpamanya tidak menyedari bahawa insentif cukai yang diberikan kerajaan telah melepasi tempoh yang ditetapkan sehingga terlepas membayar cukai.
Menurutnya lagi, peniaga juga mengadu mengenai pegawai LHDN yang bersikap kurang sopan semasa melakukan audit. – MalaysiaGazette