Presiden MIC, Datuk Seri S.Subramaniam (tiga kiri) diiringi Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan (kiri) bergambar dengan peninju seni mempertahankan diri campuran antarabangsa (MMA), Agilan Thani (tengah) pada Majlis Penghargaan Khas di Ibupejabat MIC, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 30 MEI 2017
KUALA LUMPUR – Atlet Seni Pertahanan Diri Campuran (MMA) Agilan Thani memerlukan lebih banyak penajaan bagi menampung kos latihan pada setiap kejohanan di luar negara.
Pengurus peribadinya, Amy Chia berkata, ketika ini atlet berusia 21 tahun yang berasal daripada Sentul itu selama ini terpaksa menggunakan wang sendiri bagi menjalani latihan di luar negara.
“Ketika ini kami mendapat tajaan kecil-kecilan seperti pakaian sukan sahaja itu pun sekiranya menang setiap kejohanan.
“Kita sedang terlibat dalam usaha ke arah itu dan terbaharu mengatur perbincangan untuk mendapatkan sokongan untuk Agilan dengan Kementerian Belia dan Sukan,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui petang tadi.
Terdahulu, Agilan diraikan oleh Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam dengan mengalungkannya seutas loket emas dan wang tunai bernilai kira-kira RM10,000.
Sementara, Agilan bercakap kepada pemberita mengakui perjalanannya dalam kariernya sebagai atlet MMA masih jauh sebelum bergelar juara dunia.
Katanya, beliau masih perlu gigih berlatih dan mempersiapkan minda dan fizikal bagi menghadapi lawanya dalam setiap kejohanan akan datang.
Ujarnya, sokongan dan komitmen penuh bapa dan juga teman wanitanya, Amy mendorongnya menjadi atlet profesional.
“Saya minta maaf, kerana buat kesilapan semasa kejohanan menentang Ben Askren seorang atlet berpengalaman menjuarai seni ini.
“Saya agak tertekan ketika bertarung dengannya sebelum tewas, tetapi saya tak kesal kerana tidak mahu menyalahkan sesiapa, itu salah saya. Saya kalah kerana gagal bersiap daripada segi mental dan fizikal,” akuinya.
Dia kini akan memfokuskan latihan untuk mendisiplinkan diri bagi menghadapi One Championship di negara ini pada Ogos nanti.
“Saya akan bincang dengan tiga jurulatih dari Belgium yang bantu saya sejak berusia 16 tahun lagi untuk berlatih,” katanya.
“Jika tanya perasaan melawan dan tewas dengan juara dunia berpengalaman, memang gembira kerana pengalaman pertama memberika inspirasi, cuma terkejut tak dapat beraksi cemerlang..saya akan bangkit selepas ini,” katanya yang mengakui mahu bertemu semula dengan Aksren pada masa depan.- MalaysiaGazette