Anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan menyamar sebagai pelanggan apabila melakukan audit kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di restoran-restoran seluruh negara. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA – Anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan menyamar sebagai pelanggan apabila melakukan audit kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST)  di restoran-restoran seluruh negara.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri T. Subromaniam berkata, penyamaran itu dapat mengenal pasti dan menganggarkan pendapatan pemilik restoran berkenaan dan membandingkannya dengan apa yang telah dilaporkan peniaga kepada JKDM.
Beliau berkata, dengan hanya berlepak di restoran berkenaan selama dua jam, anggota JKDM sudah mampu menganggarkan jumlah pelanggan di premis perniagaan tersebut.
Katanya lagi, penyamaran juga dapat mengenal pasti peniaga yang tidak mengeluarkan resit kepada pengguna.
“Wujud tanggapan salah dalam kalangan sesetengah peniaga yang berpendapat mereka tidak perlu mengutip GST daripada pelanggan jika resit tidak dikeluarkan.
“Apa yang tertulis dalam undang-undang ialah jumlah yang diterima daripada pelanggan sebenarnya sudah merangkumi GST,” katanya kepada Sinchew Daily.
Subromaniam berkata, undang-undang memberi kuasa yang besar kepada JKDM untuk mengutip GST daripada peniaga.
Jelasnya, JKDM boleh mengeluarkan notis kepada peniaga hanya berdasarkan pemantauan yang dilakukan anggota agensi itu walaupun tidak memiliki rekod berkenaan.
Katanya lagi, peniaga yang menerima notis JKDM perlu menjelaskan jumlah yang telah dinyatakan.
Mengulas lanjut, Subromaniam berkata, JKDM telah mengeluarkan 21,000 surat kepada peniaga untuk mengingatkan mereka memperbetulkan kesilapan yang mereka lakukan.
Kegagalan mereka memperbetulkan kesilapan akan menyebabkan mereka menerima notis malahan dikenakan tindakan mahkamah. – MalaysiaGazette