Rakaman menunjukkan beberapa lelaki memukul suspek yang didakwa mencabul seorang wanita di tandas sebuah bangunan di Alor Setar.

ALOR SETAR – Polis sedang memburu lima lagi suspek berhubung kes kematian seorang lelaki yang dipercayai mencabul kehormatan seorang wanita di dalam tandas bangunan menjual peralatan komputer dan telefon bimbit di Jalan Putra di sini, Ahad lalu.

Suspek berusia 31 tahun itu meninggal pada pukul 12.30 tengah hari semalam setelah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) akibat kecederaan parah di bahagian tengkuk, muka, telinga, badan serta kaki akibat dibelasah oleh orang awam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff berkata, polis telah menahan empat lelaki dan seorang wanita berusia 20-an di sekitar Alor Setar semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Kita sedang memburu lima lagi suspek berdasarkan gambar daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan gambar yang tersebar di media sosial,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah di sini, hari ini.

Beliau berkata, ini menjadi pengajaran kepada masyarakat di luar supaya tidak mengambil tindakan sendiri untuk menghukum pesalah laku kerana ia boleh mendatangkan kesan kepada diri sendiri.

“Jangan buat undang-undang sendiri..sekiranya berlaku kes seperti ini tangkap dan serah suspek kepada polis, biar polis yang ambil tindakan. Kita tahu kalau sudah marah memang nak pukul tapi kalau tidak sebabkan kematian tidak apa, kalau ini macam mana,” katanya. – MalaysiaGazette