KUALA LUMPUR – Data trafik penumpang global bagi bulan April tahun ini menunjukkan permintaan meningkat sebanyak 10.7 peratus berbanding bulan yang sama tahun lalu.

Prestasi itu adalah tertinggi dalam enam tahun, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) didorong oleh aktiviti ekonomi dan harga tambang yang rendah.

Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA, Alexandre de Juniac berkata, bulan April menunjukkan permintaan bagi perjalanan udara kekal pada tahap kukuh.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, IATA berkata, kapasiti jumlah tempat duduk bagi setiap kilometer yang tersedia (ASK) pada bulan April juga naik sebanyak 7.1 peratus dan lonjakan faktor muatan meningkat 2.7 peratus mata kepada 82 peratus.

IATA berkata, selepas penyelarasan inflasi, harga pengembaraan udara pada suku pertama sekitar 10 peratus, lebih rendah berbanding setahun lalu.

IATA menganggarkan jatuh tambang menyumbang kira-kira separuh pertumbuhan daripada permintaan pada bulan April.

Bagaimanapun, ia berkata, larangan kabin membawa peranti elektronik mudah alih dari 10 negara di Asia Barat dan lapangan terbang Afrika ke Amerika Syarikat telah menjejaskan trafik penumpang Asia Barat-Amerika Utara.

“Terdapat tanda-tanda penumpang mengelak laluan yang mengenakan larangan peranti elektronik. Jika larangan itu telah dilanjutkan kepada penerbangan Eropah ke Amerika Syarikat, sebagai contoh, IATA menganggarkan produktiviti Amerika Syarikat terjejas sebanyak AS$1.4 bilion.

“Ini kerana kaji selidik IATA terhadap ahli perniagaan menunjukkan 15 peratus akan berusaha untuk mengurangkan perjalanan di laluan larangan itu,” kata IATA. – MalaysiaGazette