Rafizi Ramli
Rafizi Ramli
KUALA LUMPURPengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad digesa mengekalkan jawatan Datuk Zakaria Arshad sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) sehingga satu siasatan penuh dilakukan.
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, penggantungan jawatan Zakaria yang dilakukan Pengerusi FGV, Tan Sri Isa Samad perlu diselidiki dan disiasat sepenuhnya memandangkan ia diselubungi banyak isu.
“Saya mendapat maklumat ada beberapa projek melibatkan suntikan dana beratus juta ringgit ke syarikat luar negara menjadi perbezaan pendapat di antara Tan Sri Isa dan Datuk Zakaria.
“Saya nasihatkan Tan Sri Shahrir Samad untuk campur tangan dan meredakan keadaan dengan mengekalkan Datuk Zakaria sementara segala isu disiasat dengan lebih lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas tindakan terkini Isa yang mengarahkan CEO dan presiden FGV itu bercuti daripada jawatannya, berkuatkuasa serta-merta, hari ini.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan Zakaria sedang disiasat berhubung tunggakan bayaran daripada syarikat Safitex bagi produk Delima Oil Products Sdn Bhd, sebuah anak syarikat FGV.
Zakaria juga dilaporkan diarah untuk meletakkan jawatannya kerana beliau telah melanggar amalan korporat dengan membenarkan pembelian oleh pihak Safitex tanpa surat kredit, menyebabkan penangguhan bayaran.
Mengulas lanjut, Rafizi juga mendakwa, perbezaan pandangan dalam beberapa isu besar, termasuk urusniaga melibatkan pembelian saham-saham PT Eagle High Plantations di Indonesia antara punca penggantungan jawatan Zakaria.
“Cadangan terkini mengheret FGV terlibat di dalam urusniaga dengan Tan Sri Peter Sondakh (pemilik PT Eagle High Plantations).
“Cadangan terbaru memansuhkan perjanjian pajakan tanah dengan Felda yang akan melibatkan pindah milik saham menjadikan Peter salah seorang pemilik saham terbesar FGV,” katanya.
Rafizi berkata, sebagai seorang tokoh korporat dari generasi kedua Felda, Zakaria dilihat berjaya memimpin FGV serta menunjukkan sedikit peningkatan sejak kebelakangan ini.
“Saya kurang mengeluarkan kenyataan mengenai FGV kebelakangan ini kerana mahu memantau bahawa FGV boleh lebih maju di bawah kepimpinan beliau,” jelasnya.
Sementara itu, Aktivis Membela Peneroka Felda, Nazara Muda dalam kenyataan berasingan hari ini pula mendesak Isa disingkirkan daripada jawatan pengerusi FGV.
“Semua warga Felda menyokong Zakaria untuk terus mengekalkan kedudukannya. Kami akan bersolidariti mempertahakan anak Felda.
“Ini kerana Zakaria cuba memacu dan membawa FGV ke landasan betul dengan apa yang dialami FGV sejak disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia sejak Jun 2012,” katanya. -MalaysiaGazette