Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang
KUALA LUMPUR Pas mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengganas yang mengorbankan tujuh orang awam dalam satu rempuhan sebuah van terhadap pejalan kaki dan menikam orang awam di London, Sabtu lalu.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, serangan berkenaan bercanggah dengan ajaran Islam sebenar yang menganjurkan perdamaian serta menjaga hak orang awam semasa aman atau waktu peperangan.
“Islam melarang membunuh wanita, kanak-kanak, orang tua dan merosakkan bangunan serta pokok tanaman.
“Tambahan pula, United Kingdom mengamalkan sikap toleransi terhadap umat Islam untuk mengamalkan agama, dan umat Islam dapat hidup aman dan bebas untuk bekerja, berpendidikan, berurus niaga dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam serangan itu, selain tujuh orang awam maut, tiga penyerang ditembak mati oleh polis selepas kejadian rempuhan van di London Bridge dan di sebuah restoran di pasar Borough, pada Sabtu.
Pegawai polis bersenjata melepaskan tembakan dalam serangan pada Sabtu malam selepas sebuah van merempuh pejalan kaki dan penyerang menikam orang awam.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi juga kesal kerana serangan ganas itu berulang lagi selepas insiden sama yang berlaku di Manchester pada 22 Mei lalu.
“Sebelum ini, modus operandi pengebom berani mati telah meletupkan dirinya yang mengorbankan sekurang-kurangnya 22 orang awam termasuk kanak-kanak dan 59 lagi cedera,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.