Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali bercakap pada sidang media mengenai isu kemelut yang melanda FELDA di Pejabat Perkasa, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 07 JUN 2017

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan digesa memberikan taraf kerakyatan Malaysia kepada penceramah antarabangsa, Dr Zakir Naik sekiranya pemimpin Islam ini mengemukakan permohonan.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, ia bagi membersihkan nama dan imej Zakir yang tercalar akibat tindakan sebuah portal berita yang mengatakan taraf itu sedang dipertimbangkan oleh banyak negara.

“Saya menyokong sepenuhnya jika kerajaan sedia meluluskan permohonan kerakyatan Malaysia kepada Zakir Naik.

“Malaysia adalah negara berdaulat, di mana kita juga boleh beri hak penduduk tetap ataupun apa juga perlindungan suaka politik yang pernah diberikan kepada pemimpin parti rakyat Brunei,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Perkasa disini petang tadi.

Sebelum ini, sebuah portal berita mereka-reka laporan bahawa Zakir memohon untuk menjadi rakyat Malaysia dan beberapa negara lain.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, sekiranya kerajaan dapat memberikan kerakyatan Malaysia kepada Zakir, ia secara tidak langsung dapat menyangkal dakwaan jahat itu.

“Dengan cara ini, Dr Zakir tidak akan diberikan sebarang layanan istimewa lagi daripada kerajaan, bahkan keputusan penduduk tetap yang diberikan kepada Dr Zakir juga digesa ditarik balik.

“Terpulang kepada kerajaan untuk buat keputusan, saya sokong sebab nak balas kebiadaban mereka terhadap tokoh Islam berwibawa termasuk Anugerah Maal Hijrah oleh kerajaan Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.