Home Ekonomi Qatar Airways catat untung bersih AS$540j sebelum krisis

Qatar Airways catat untung bersih AS$540j sebelum krisis

DOHA – Qatar Airways merekodkan keuntungan bersih sebanyak AS$540 juta, kenaikan hampir 22 peratus pada tahun kewangan lalu yang berakhir pada bulan Mac, sebelum negara-negara Teluk memutuskan hubungan diplomatik.

Ketua Eksekutif Qatar Airways, Akbar Al-Baker dalam satu kenyataan berkata, prestasi tahunan itu menunjukkan kejayaan pengembangan dan strategi pertumbuhan syarikat penerbangan ini.

Walaupun merekodkan prestasi baik, tempoh semasa menjadikan ia tidak menentu bagi syarikat penerbangan yang berpangkalan di Doha ini.

Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan lain-lain menuduh Qatar menyokong kumpulan pelampau dan telah mengenakan langkah-langkah punitif ke atas Doha.

Ini termasuk mengharamkan Qatar Airways daripada menggunakan ruang udara mereka dan Arab Saudi juga dibatalkan lesen Qatar Airways untuk beroperasi di negara itu.

Syarikat penerbangan itu juga terkesan dengan larangan membawa alat peranti yang dikenakan Amerika Syarikat pada bulan Mac bagi penerbangan dari Timur Tengah. – MalaysiaGazette