Home Dunia Obesiti di seluruh dunia cetus krisis kesihatan

Obesiti di seluruh dunia cetus krisis kesihatan

KUALA LUMPUR – Lebih daripada satu dalam 10 orang di seluruh dunia kini obes dan 2.2 bilion yang dipercayai memiliki berat badan berlebihan, meningkatkan krisis kesihatan dunia setiap tahun.

Jumlah obesiti adalah lebih daripada dua kali ganda di 73 buah negara dan melonjak di seluruh dunia, menurut New England Journal of Medicine.

Kajian oleh jurnal itu meliputi 195 buah negara dalam tempoh 35 tahun itu, penyelidikan yang dibentangkan pada persidangan di Stockholm diiktiraf sebagai kajian paling komprehensif pernah dijalankan setakat ini berhubung obesiti.

Pada kesimpulan kajian pada tahun 2015, seramai 107.7 juta kanak-kanak dan 603.7 juta dewasa di seluruh dunia mengalami obes, mencetuskan ‘peningkatan krisis kesihatan awam global yang membimbangkan’.

Walaupun kadar obesiti pada kanak-kanak masih rendah berbanding orang dewasa, ia telah berkembang pada kadar yang lebih cepat dalam tempoh kajian.

“Berat badan berlebihan adalah salah satu masalah kesihatan awam yang paling mencabar pada masa ini, menjejaskan hampir satu dalam setiap tiga orang,” kata Dr. Ashkan Afshin, penulis utama kertas dan penolong profesor kesihatan global di Institut Kesihatan Metrics dan penilaian (IHME) di University of Washington di Seattle.

Daripada sejumlah 2.2 bilion orang – 30 peratus daripada penduduk dunia – dipercayai sama ada obes atau berat badan berlebihan pada tahun 2015.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggarkan bilangan orang yang berlebihan berat badan pada tahun 2014 adalah seramai 1.9 bilion, termasuk lebih daripada 600 juta orang yang gemuk.

Berat badan yang berlebihan dikaitkan dengan peningkatan mendadak penyakit kardiovaskular, diabetes dan beberapa jenis kanser.

Empat juta kematian pada tahun 2015 telah dikaitkan mempunyai Indeks Jisim Badan (BMI) melebihi 24.5, menunjukkan seseorang itu mempunyai berat badan berlebihan, atau 30 atau lebih, menunjukkan obesiti.

Kadar obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa muda paling tinggi di Amerika Syarikat dengan 13 peratus, manakala Mesir mempunyai kadar tertinggi obesiti orang dewasa, iaitu 35 peratus.

Kadar paling rendah obesiti dewasa adalah di Bangladesh dan Vietnam, kedua-duanya pada satu peratus.

China dan India mempunyai bilangan tertinggi kanak-kanak obes – masing-masing 15.3 dan 14.4 juta. – MalaysiaGazette