Home Nasional Penggunaan benzoil peroksida dalam tepung selamat

Penggunaan benzoil peroksida dalam tepung selamat

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, penggunaan bahan peluntur benzoil peroksida dalam tepung gandum adalah selamat.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983 membenarkan benzoil peroksida sebagai kondisioner makanan di bawah aditif makanan di dalam tepung.

Benzoil peroksida telah dinilai dan disahkan selamat untuk digunakan dalam makanan oleh badan penilai antarabangsa iaitu Joint FAO/WHO Expert Committee on Food Additives (JECFA).

Sehubungan itu , Codex Alimentarius Commission (CAC) iaitu badan antarabangsa yang ditubuhkan di bawah Joint FAO/WHO Food Standards Programme telah membenarkan penggunaan benzoil peroksida dalam tepung gandum.

Di samping itu, penambahan benzoil peroksida dalam tepung gandum juga dibenarkan di negara-negara lain seperti Jepun dan Amerika Syarikat manakala Australia New Zealand Food Standards Code membenarkan ianya digunakan dalam semua makanan.

Beliau berkata, hasil pemantauan KKM ke atas 202 sampel pelbagai tepung di pasaran dari tahun 2014 menunjukkan semua tepung tersebut mematuhi Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Bagaimanapun, katanya, KKM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi melindungi kesihatan pengguna sekiranya terdapat bukti-bukti saintifik terkini daripada badan-badan antarabangsa seperti Codex dan JECFA yang membuktikan mana-mana bahan dalam makanan adalah berbahaya kepada kesihatan.

KKM amat peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna dan sentiasa memantau isu-isu berhubung keselamatan makanan. – MalaysiaGazette