Husam Musa

KUALA LUMPUR – DAP secara terbuka menyatakan sokongan mereka kepada bekas naib presiden Pas, Datuk Husam Musa sebagai calon menteri besar (MB) Kelantan sekiranya Pakatan Harapan berjaya memenangi pilihan raya umum di negeri itu nanti.

Sokongan itu dinyatakan oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mengulangi sokongan kepada Husam yang juga Naib Presiden PAN (Parti Amanah Negara) sebagai calon Pakatan untuk menjadi MB jika berjaya menang.

Kit Siang menyatakan sokongan kepada Husam semasa sebuah majlis sambutan Aidilfitri anjuran DAP cawangan Suara Muda, Kebun Sultan dan Gajah Mati di Kota Bharu, semalam.

Beliau juga memuat naik teks ucapannya di blognya.

Lim Kit Siang

“Saya berharap Datuk Husam Musa akan menjadi menteri besar Kelantan yang baru pada (sambutan) Hari Raya Aidilfitri tahun depan dan saya akan kembali ke Kota Bharu tahun depan untuk menghadiri rumah terbuka Aidilfitri kerajaan Kelantan Pakatan Harapan,” katanya.

Husam yang dianggap pilihan bekas menteri besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, adalah naib presiden Pas ketika parti Islam itu memecatnya atas dakwaan melanggar disiplin dan tatatertib parti pada Mei 2016.

Ketika itu, Husam lantang mengkritik kepimpinan Pas di bawah Datuk Seri Abdul Hadi Awang, khasnya di Kelantan. – MalaysiaGazette