Pekerja
Arkib: Pekerja. foto FAREEZ FADZIL, 10 APRIL 2017

KUALA LUMPUR – Pengambilan pekerja secara dalam talian di Malaysia secara keseluruhannya mencatatkan penurunan sebanyak 14 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menurut Indeks Pekerjaan Monster (MEI), sektor minyak dan gas mencatatkan sektor terbaik buat pertama kalinya pada Mei 2017 dengan pertumbuhan sebanyak 16 peratus berbanding tahun lalu.

Manakala sektor peruncitan merekodkan penurunan paling teruk di antara semua sektor dengan kemerosotan sebanyak 35 peratus.

Pengarah Urusan Monster. Com untuk Asia Pasifik dan Asia Barat, Sanjay Modi berkata, penganalisis masih yakin terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Walaupun jumlah keseluruhan pengambilan pekerja secara dalam talian lemah, para penganalisis masih yakin dengan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang menunjukkan trend pengembangan sihat terutamanya dalam sektor-sektor terpilih seperti minyak dan gas.

“Sektor ini menunjukkan prestasi baik bulan ini kerana ia menjalankan operasi penyumberan luar di sini bagi mengurangkan perbelanjaan keluar.

“Antara faktor lain yang menyebabkan pengambilan pekerja dalam sektor peruncitan merosot adalah didorong oleh kadar inflasi semasa yang telah mengakibatkan peningkatan kos sara hodup dan sekali gus menjejaskan perbelanjaan pengguna,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sektor peruncitan mencatatkan prestasi buruk sejak bulan lepas lagi.

Menurut MEI, apabila dilihat mengikut kumpulan pekerjaan khusus, peranan bahagian Jualan dan Pembangunan Perniagaan kekal sebagai sektor yang paling mendapat permintaan tinggi di Malaysia dengan merekodkan pertumbuhan sebanyak sembilan peratus setahun untuk dua bulan berturut-turut.

Peranan Perkhidmatan Pelanggan pula sebaliknya kekal kumpulan pekerjaan paling teruk dengan menyaksikan kejatuhan sebanyak 64 peratus setahun.

MEI adalah pengumpulan data berhubung aktiviti pencarian pekerja menerusi dalam talian berdasarkan jutaan peluang pekerjaan yang disediakan majikan.

Data dikumpulkan melalui pelbagai laman web dan senarai pekerjaan dalam talian terpilih di seluruh Malaysia.-MalaysiaGazette