Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

KUALA LUMPUR – Semua penerbangan tempatan dicadangkan membaca doa sebelum memulakan perjalanan, cadang Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Cadangan itu dibuat susulan kontroversi pemimpin DAP, Datuk Zaid Ibrahim yang mempertikaikan tindakan juruterbang AirAsia X menyuruh penumpang membaca doa selepas penerbangan itu berdepan masalah enjin.

Jelas Zulkifli, langkah tersebut bertujuan memohon keberkatan dalam setiap perjalanan penumpang yang dianggap sebagai seorang musafir kerana perjalanan jauh mereka.

“Justeru, kami sejujurnya mencadangkan kepada syarikat-syarikat penerbangan di Malaysia seperti Malaysia Airlines Berhad (MAS), AirAsia, Malindo dan Firefly untuk memulakan perjalanan musafir dengan doa yang dianjurkan.

“Ini akan membawa keberkatan dalam perjalanan dan InsyaAllah keselamatan serta keamanan kerana difahami bahawa sememangnya musafir itu sebahagian daripada azab dan masyaqqah (penderitaan atau kepayahan) yang perlu ditempuh oleh orang yang berkelana,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beberapa syarikat penerbangan Arab seperti Saudi Air, Etihad dan Qatar Airways memainkan doa yang dirakamkan sebelum berlepas.

Isu doa dalam pesawat menjadi topik hangat selepas juruterbang AirAsia X meminta penumpang dalam penerbangan D7237 untuk berdoa ketika menghadapi masalah enjin.

Bekas menteri, Zaid mengkritik permintaan juruterbang itu dengan mengatakan bahawa juruterbang itu seharusnya memberikan harapan.

Ramai pihak menyanggah kenyataan Zaid yang mempertikaikan tindakan juruterbang tersebut. – MalaysiaGazette