Suruhanjaya Tenaga
PETALING JAYA – Suruhanjaya Tenaga telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan supaya kerangka rebat sedia ada untuk tarif elektrik digantikan dengan sistem surcaj.
Sinchew Daily melaporkan, kaedah pengiraan bil elektrik sedia ada akan menerima impak jika perubahan yang dicadangkan diluluskan kerajaan.
Akhbar itu bagaimanapun menyatakan bahawa sistem sedia ada mungkin dikekalkan kerajaan selepas mengambil kira faktor pilihan raya selain kos sara hidup rakyat.
Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Zaini Ujang ketika dihubungi berkata, sistem rebat Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) yang baharu belum tersedia, tetapi akan diumumkan dalam masa terdekat.
Mengikut sistem rebat ICPT, Tenaga Nasional Berhad (TNB) boleh menyelaras pengiraan tarif elektrik setiap enam bulan di mana tarikh penyelarasan seterusnya ialah 30 Jun ini.
Pengerusi Suruhanjaya Tenaga, Datuk Abdul Razak Abdul Majid berkata, pihaknya telah memberi laporan mengenai keadaan semasa di negara ini dan kerajaan dijangka mengumum maklumat lanjut dalam beberapa hari terdekat.
Beliau berkata, Suruhanjaya Tenaga mengambil kira beberapa keadaan termasuk yang membabitkan bekalan arang batu dan gas asli, kadar pertukaran mata wang dan inflasi.
“Saya tidak boleh mendedahkan sama ada rebat akan dikurangkan, ditambah atau dikekalkan. Ini keputusan kerajaan,” katanya kepada Sinchew Daily.
Difahamkan kerajaan telah meluluskan Petronas menaikkan harga gas paip sebanyak RM1.50 untuk setiap mmBtu mulai Julai ini.
Keadaan itu bermakna penjimatan kerajaan daripada penurunan harga gas asli cecair dan perjanjian pembelian tenaga (PPA) yang lebih kos efektif akan ‘dineutralkan’ oleh kenaikan dalam harga gas paip.
Senario itu mungkin mendorong kerajaan mengurangkan rebat untuk tarif elektrik.
Pelbagai usaha TNB termasuk pemasangan meter pintar, kabel pintar dan pembinaan loji jana tenaga baharu telah menaikkan kos yang ditanggung syarikat pembekal elektrik tersebut.