ROM- Permintaan yang dibuat oleh empat negara Arab kepada Qatar patut ditolak, kata Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman al-Thani.

Menurutnya, matlamat utama empat negara berkenaan adalah untuk menjejaskan kedaulatan negara mereka dan bukan mahu menangani isu keganasan.

Menurut Sheikh Mohammed, Doha bagaimanapun masih sudi untuk duduk berbincang dengan empat negara berkenaan bagi mengatasi masalah yang timbul lebih sebulan yang lalu.

Beliau mengulas mengenai 13 permintaan oleh Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Arab Saudi dan Mesir yang perlu dipenuhi oleh Qatar.

Negara tersebut perlu membuat keputusan sebelum Ahad (hari ini).

Menurut pegawai-pegawai negara tersebut, mereka berhasrat untuk menghentikan persengketaan yang berlaku selepas dituduh oleh empat negara berkenaan yang mengatakan Qatar telah menyokong keganasan– satu tuduhan yang mereka nafikan.

“Senarai permintaan itu tidak patut dipatuhi. Ia direka bukan untuk diterima mahupun dirunding. Ia direka untuk ditolak,” kata Sheikh Mohammed sambil menambah, Qatar bersedia untuk mengadakan dialog seterusnya asalkan dengan syarat yang betul.

Antara permintaan yang perlu dipatuhi Qatar adalah menamatkan hubungan dengan kumpulan-kumpulan pengganas, menurut saluran satelit Al-Jazeera, mengurangkan hubungan dengan Iras serta menutup pengkalan udara Turki di Qatar.

Menurut empat negara Arab tersebut, permintaan-permintaan yang telah dinyatakan itu tidak boleh dirunding dan memberi amaran yang satu langkah yang masih belum diputuskan akan diambil sekiranya Qatar enggan patuh kepada permintaan mereka.

Bagaimanapun, Sheikh Mohammed tidak berganjak dengan prinsipnya.

“Berhubung permintaan mereka dan kedudukan kami, kami sangat jelas sejak dari awal lagi.

“Kami tidak akan menerima sebarang permintaan yang mencemarkan kedaulatan Qatar serta apa-apa syarat yang akan dikenakan kepada negara kami,” tegasnya.

Pegawai-pegawai Qatar berulang kali mengatakan syarat-syarat tersebut adalah draconian dan mereka mengesyaki negara-negara tersebut tidak secara serius mahu berunding dengan mereka sebaliknya hanya mahu mencemarkan kedaulatan negara berkenaan.

Ketika ditanya apakah beliau tidak takut kepada sebarang ancaman ketenteraan, Sheikh Mohammed berkata, mereka tidak takut namun yakin kebijaksanaan akan penamat kepada kemelut ini.

“Undang-undang antarabangsa tidak harus dilanggar dan terdapat sempadan yang tidak harus dilangkahi,” katanya.-MalaysiaGazette