Gambar hiasan

RIYADH – Kesilapan dalam perubatan yang dilakukan oleh doktor dan jururawat di hospital swasta semakin meningkat, menurut pakar insurans kesihatan.

Sebanyak 10 peratus daripada kesilapan perubatan itu dilakukan oleh para doktor semasa melakukan pembedahan kosmetik.

“Insurans untuk melindungan kesilapan perubatan tidak akan mengurangkan masalah itu kerana syarikat-syarikat insurans meletakkan syarat-syarat yang sukar,” kata seorang pakar kepada media Al-Riyadh.

Dr. Fahd Al-Bassi, Timbalan Pengarah Pengurusan Perubatan di Pertubuhan Insurans Sosial (GOSI), berkata, perlindungan insurans sebenarnya menyumbang kepada peningkatan kesilapan-kesilapan dalam perubatan di negara itu.

“Sebilangan besar kesilapan itu berlaku di pusat-pusat pembedahan kosmetik kerana kekurangan kemudahan canggih dan peningkatan jumlah operasi,” kata Al-Bassi sambil menyeru pihak berkuasa agar terus memerhatikan prestasi doktor dan jururawat.

“Sebuah jawatankuasa khas harus dibentuk untuk menghukum doktor dan jururawat yang sering melakukan kesilapan, membahayakan kesihatan dan kehidupan orang,” kata Al-Bassi sambil menambah bahawa kesilapan berlaku kerana kurang pengalaman dan kepakaran oleh pengamal perubatan.

Beliau turut menyalahkan doktor asing yang tidak layak dan ia meningkatkan jumlah kesilapan perubatan di hospital swasta.

“Hospital dan klinik swasta memberi keutamaan kepada keuntungan dan bukannya kualiti perkhidmatan,” katanya.

Al-Bassi menegaskan wujud keperluan untuk menyiarkan nama-nama hospital dan klinik yang melantik doktor dan jururawat yang tidak berpengalaman dan cuai.

Lesen perubatan hospital dan klinik swasta tidak perlu diperbaharui jika bilangan kesilapan perubatan melepasi tahap yang boleh diterima,” katanya.

Dr. Fahd Al-Anazi, pakar insurans kesihatan pula menggesa untuk mengubah sistem pampasan semasa untuk kesilapan-kesilapan perubatan.

Beliau berkata, moral dan psikologi terjejas yang dialami oleh mangsa dan keluarga mereka perlu dipertimbangkan semasa mengira pampasan itu.

“Kesalahan perubatan sering menyebabkan kecacatan. Pampasan tidak boleh dihadkan kepada kematian dan kehilangan organ tetapi harus meliputi penderitaan psikologi mangsa, “katanya.

“Insurans kesilapan perubatan tidak akan menamatkan kesilapan tetapi akan menyumbang untuk mengurangkan mereka (kakitangan perubatan) kerana syarikat insurans mengenakan syarat yang ketat ke atas pengamal perubatan untuk mengurangkan kesilapan,” kata Al-Anazi kepada Al-Riyadh.

Beliau berkata, matlamat utama skim insurans adalah memastikan pampasan yang baik dan cepat kepada mangsa dan keluarga mereka.

“Ia juga akan menggalakkan jawatankuasa undang-undang untuk mengambil tindakan segera terhadap doktor dan jururawat yang cuai tanpa ragu-ragu,” katanya.

Al-Anazi berkata, doktor dan jururawat yang terlibat dalam kesilapan perubatan perlu membayar premium insurans yang lebih tinggi, bergantung kepada bilangan doktor di hospital yang dilindungi oleh insurans dan kepentingan syarikat untuk menjalin hubungan dengan hospital atau klinik.

“Sekiranya liputan insurans diberikan kepada doktor tunggal, premium menjadi sangat tinggi.

“Perlindungan insurans terhadap kesilapan perubatan adalah baik untuk pesakit, doktor dan hospital. Ia akan meningkatkan keyakinan doktor dan menghapuskan ketakutan mereka dalam merawat pesakit,”katanya. – MalaysiaGazette