Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Salahuddin Ayub bercakap pada sidang media berkaitan pemantauan tingkah laku pegawai kanan kerajaan seperti Ketua Polis Negara dan Peguam Negara serta tindakan kerajaan negeri Sarawak yang menghantar peguam ke London bagi meneliti perjanjian Malaysia. foto SAFWAN MANSOR, 03 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Tindakan kerajaan negeri Sarawak menghantar pasukan peguam ke London mungkin akan mengundang campur tangan asing dalam urusan negara, kata Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Salahuddin Ayub.

“Ini bukan perkara yang baik, saya cukup bimbang langkah seperti ini mungkin mengundang satu campur tangan asing.

“Tindakan Ketua Menteri Sarawak bahawa mereka akan menghantar pasukan peguam dan seorang exco untuk menyemak dan mendapat maklumat mengenai Perjanjian Malaysia (MA1963) sebagai usaha meruskan perjuangan Tan Seri Adenan Satem,” katanya di ibu pejabat parti itu hari ini.

Sabtu lalu, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg mengumumkan menghantar sepasukan peguam ke London untuk mencari dan meneliti rujukan berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA1963) bagi menentukan hak-hak sebenar negeri itu yang termaktub di bawah perjanjian tersebut.

Pasukan peguam berkenaan diketuai Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri Persekutuan dan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Abang Johari berkata demikian pada majlis ramah tamah Hari Raya Aidilfitri Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Bagaimanapun, bila tarikh dan tempoh masa pasukan berkenaan berada di London tidak diumumkan. -MalaysiaGazette