Asrol Sani Abdul Razak

PULAU PINANG – Angkata Muda Keadilan Pulau Pinang menyarankan Pas fokus kepada kerusi-kerusi yang mereka tandingi dan berhenti menjadi talian hayat kepada Barisan Nasional (BN) khususnya di negeri ini.

Ketuanya, Asrol Sani Abdul Razak berkata, pihaknya tidak terkejut dengan hasrat Pas untuk bertanding di kerusi Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) khususnya di Pulau Pinang.

Menurut beliau, Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan konsep demokrasi justeru tiada mana-mana kerusi menjadi hak mana-mana parti.

“Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang percaya bahawa rakyat mahukan agenda reformasi dan menolak kleptrokasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Mohd. Fauzi Mohd. Yusuf berkata, pihaknya sudah memulakan kajian bagi menuntut semula kerusi yang dipinjamkan kepada bekas sekutunya, PKR dalam pilihan raya umum lalu.

Bercakap kepada pemberita ketika sambutan Aidilfitri Pas di Kepala Batas, Mohd. Fauzi menjelaskan, selain kajian melibatkan 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen, pihaknya juga sedang mencongak peluang termasuk bertanding di beberapa kawasan lain.

Dalam masa sama, beliau menegaskan, parti politik lain tidak perlu berasa khuatir dengan hasrat Pas bertanding dilebih banyak kerusi itu sebaliknya menerima hasrat parti berkenaan secara budaya politik matang.

“Secara umumnya, Pas masih belum sasarkan untuk menang berapa kerusi, segalanya masih pada peringkat kajian termasuk bertanding di kerusi tradisi Pas sebelum ini yang diberi kepada PKR,” katanya. – MalaysiaGazette