Abang Johari Tun Abang Openg

KUCHING – Ekoran membuat kenyataan berhubung tindakan kerajaan negeri Sarawak yang menghantar peguam ke London berhubung Perjanjian Malaysia 1963 akan mengundang campur tangan luar, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Salahuddin Ayub disifatkan cetek pemikiran.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata kenyataan Salahuddin itu jelas mencerminkan peribadi pemimpin pembangkang yang mudah membuat tuduhan semata-mata.

“Kenyataan beliau mencerminkan kualiti kepimpinan mereka (PAN). Cetek sungguh pemikiran mereka. Sukar untuk kita bergantung pada kepimpinan seperti itu,” katanya memetik laporan Bernama.

Jelas Abang Openg, niat sebenar tindakan tersebut dibuat adalah untuk meneliti sumber dan dokumen berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 yang membawa Malaya, Singapura, Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak menjadi Malaysia. (Singapura keluar daripada Malaysia pada 1965 dan menjadi negara sendiri).

Delegasi Sarawak diketuai Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Persekutuan-Negeri dan Pemantauan Projek Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali akan berada di London selama kira-kira seminggu dalam misi mencari fakta tersebut.

Sabtu lalu, Abang Johari berkata Sarawak akan menghantar sepasukan peguam ke London untuk mencari dan mengkaji bahan rujukan berkaitan hak negeri ini mengikut Perjanjian Malaysia 1963.

Salahuddin semalam menganggap tindakan BN Sarawak itu bakal mengundang campur tangan asing dalam urusan negara. – BERNAMA