Datuk Ahmad Yakob
Ahmad Yakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan Kelantan tidak pernah mengarahkan Syarikat Climate Protector Sdn. Bhd. atau mana-mana syarikat mengutip wang untuk melaksanakan projek perdagangan karbon.

Itu penjelasan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob menjawab dakwaan kerajaan negeri mengutip wang secara haram dalam mengendalikan program ini sebagaimana yang disebarkan melalui media sosial.

“Kerajaan negeri amat mengharapkan kepada sesiapa yang ada membuat apa jua bayaran agar dapat membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan oleh pihak berwajib,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad, inisiatif perdagangan karbon merupakan satu mekanisme insentif yang baik dalam usaha menggalakkan negara-negara membangun mengurangkan kadar pelepasan Green House Gas (GHG) daripada aktiviti penyahhutanan dan kemerosotan hutan serta meningkatkan kadar penyerapan GHG daripada aktiviti pengurusan hutan secara berkekalan.

Inisiatif insentif itu, katanya dapat meningkatkan program pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan berhutan di negeri Kelantan yang berfungsi dalam mengawal kestabilan alam sekitar, menjamin air bersih dan keberkekalan kepelbagaian biologi.

Seterusnya secara tidak langsung inisiatif program yang sama dapat memberi pulangan hasil kepada pembangunan negeri Kelantan, katanya.

Untuk merealisasikan hasrat tersebut, maka pihak kerajaan negeri Kelantan telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) dengan Syarikat Climate Protector Sdn. Bhd. pada 9 Januari lalu.

Pihak kerajaan negeri telah memperuntukkan tempoh selama 24 bulan atau 2 tahun sebagaimana tertera dalam dokumen perjanjian untuk dilakukan analisa saintifik, penilaian dan laporan verifikasi oleh para saintis bertauliah bagi mengenal pasti stok karbon di kawasan hutan yang dikenal pasti oleh kerajaan negeri.

“Fasa pelaksanaan seterusnya adalah bergantung kepada tempoh kajian ini dengan melihat kepada keupayaan syarikat mengendalikan projek terbabit.

“Dalam tempoh kajian dan semakan semula ini juga, pihak kerajaan negeri akan mendapatkan pandangan pihak ketiga daripada institusi kewangan yang berwibawa ke atas perjalanan urusniaga yang akan dilaksanakan oleh Syarikat bagi memastikan urusniaga ini sah dari segi perundangan tempatan dan antarabangsa.

“Ini termasuklah dengan mengadakan perbincangan dengan mana-mana institusi atau negara yang sedang atau telah melaksanakan projek REDD ini,” katanya.

Menurut Ahmad, kerajaan negeri juga mengambil kira pandangan daripada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dalam hal yang sama.- MalaysiaGazette