Muhyiddin Yassin UKSB Home Minister
Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak senang dengan dakwaan Lim Guan Eng mengatakan mereka mahu memonopoli jawatan dalam Pakatan Harapan (PH) selepas parti baharu itu didedahkan meminta dua jawatan penting dalam gabungan pembangkang.

Muhyiddin berkata, dakwaan PPBM cuba memonopoli jawatan tidak berbangkit memandangkan mereka juga sebahagian parti komponen dalam PH dan juga mempunyai hak yang sama-rata dengan parti-parti lain walaupun dianggap sebagai parti setahun jagung.

“Ia isu tak berbangkit, tak betul kenyataan itu kerana kita adalah rakan dalam satu perjuangan dalam Pakatan Harapan, kita mempunyai kedudukan yang sama,” kata Muhyiddin semasa ditemui media selepas majlis perasmian buku A Driver’s Son yang ditulis oleh Tan Sri Shamsuddin Abdul Kadir di Nu Sentral petang tadi.

Jelas Muhyiddin, kedua-dua jawatan tinggi yang diminta oleh PPBM tersebut adalah cadangan yang dikemukakan memandangkan mereka merasakan dapat membantu memperkukuhkan PH.

“Cuma yang kita kemukakan cadangan kita itu adalah apa yang kita fikir boleh membantu agar Pakatan Harapan ini diberikan sokongan penyertaan pimpinan daripada PPBM.

“Bukan kita sahaja, seorang atau dua (jawatan dalam PH) yg dinamakan jadi itu tidak bermaksud monopoli, tidak ada satu pihak boleh memonopoli kerana kita mengamalkan dasar-dasar yang saksama jadi tanggapan itu bagi saya tidak betullah,” ujarnya.

Terdahulu, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP meluahkan rasa tidak puas hati selepas PPBM berhubung isu jawatan penting dalam PH.

Media mendedahkan PPBM meminta dua jawatan penting dalam PH untuk menghadapi PRU-14, jawatan tersebut adalah pengerusi dan presiden.

Guan Eng membidas PPBM dengan mendakwa parti baharu itu cuba monopoli jawatan dalam gabungan pembangkang itu.

“Saya tidak akan bersetuju jawatan pengerusi dan presiden (PH) diisi oleh PPBM. Ini adalah suatu monopoli dan penguasaan kawalan (terhadap PH),” kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu seperti dalam satu laporan.

Jawatan tersebut yang belum diketahui kedudukannya dikatakan akan diisi oleh Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad dan presiden parti itu, Muhyiddin. – MalaysiaGazette