Bertha, badak tertua yang mati di Zoo Manila. foto Agensi

MANILA – Bertha, yang dipercayai sebagai badak air yang tertua di dunia mati pada usia 65 tahun akibat kegagalan organ.

Badak air betina seberat 2.5 tan itu mati dikandangnya, kata Pengarah Zoo Manila, James Dichaves.

“Bertha adalah antara haiwan perintis di sini, pasangannya mati pada 1980-an dan tidak mempunyai anak,” katanya.

Bertha berusia tujuh tahun ketika tiba di zoo yang terletak di ibu negara Filipina pada tahun 1959.

Bagaimanapun, pihak zoo kehilangan rekod dari mana ia berasal, kata Dichaves.

Makan rumput, buah dan roti, Bertha hidup melebihi 40 hingga 50 tahun daripada usia tipikal untuk spesies itu.

Dichaves percaya Bertha adalah badak air tertua pada masa kematiannya.

Badak Donna yang meninggal dunia pada tahun 2012 pada usia 62 tahun di Zoo Mesker Park dan Botanic Garden di Evansville, Indiana, sebelum ini dikatakan sebagai hippo tertua di dunia, menurut laporan media pada masa itu.

Kematian Bertha meninggalkan Mali, seekor gajah Asia berusia 43 tahun, sebagai haiwan yang paling tua di antara 500 spesis di Zoo Manila, kata Dichaves.

Kumpulan hak asasi haiwan di seluruh dunia telah meminta Mali, gajah betina dikeluarkan dari zoo berkenaan dan dihantar ke tempat perlindungan Thai dalam kempen selama tujuh tahun, mendakwa haiwan itu mangsa kekejaman dan hidup sendirian.

Bagaimanapun, jabatan persekitaran negara akhirnya membenarkan zoo berkenaan mengekalkan gajah itu selepas pakar memutuskan ia sihat dan tidak pasti bagaimana Mali akan bertindak balas terhadap gajah lain yang berada di tempat perlindungan Thai, kata Dichaves. – MalaysiaGazette