Dr. Ahmad Shukri Ismail

KUALA LUMPUR – Kematian pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafie adalah mirip kepada gejala-gejala khas leptospirosis kronik.

Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) berkata, penyakit leptospirosis terdiri daripada dua fasa iaitu fasa akut dan fasa kronik.

Fasa akut membawa kepada simptom-simptom ringan seperti demam, sakit kepala dan sakit perut selama tiga hingga tujuh hari yang mana penyakit ini boleh hilang.

Antibodi dalam badan manusia membolehkan pesakit sembuh sementara antara tiga hingga empat hari.

Presiden Perdim, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, fasa kronik akan timbul jika kuman leptospirosis gagal dibunuh oleh sistem pertahanan manusia dan membiak dalam cairan tulang belakang dan darah.

Menurut beliau, gejala fasa akut tidak memberi gambaran gejala khas menyebabkan diagonisi pesakit agak sulit di peringkat awal.

“Sedangkan leptospirosis tahap kronik memberi simptom khas yang mirip kepada keadaan punca kematian Mohamad Thaqif,” katanya di sini.

Beliau berkata demikian berikutan timbul persoalan berhubung hasil bedah siasat Mohamad Thaqif yang diumumkan oleh Kementerian Kesihatan baru-baru ini.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan berkata, Mohamad Thaqif meninggal disebabkan leptospirosis yang mendapat jangkitan daripada kulit serta darah dan bukan trauma daripada pukulan.

Keputusan itu berdasarkan bedah siasat pada hari sama pelajar itu meninggal dunia pada 26 April lalu menggunakan sampel tisu dan darah yang dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Jabatan Kimia.
Thaqif, 11, dimasukkan di wad rawatan rapi di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru pada 19 April lalu selepas didakwa dipukul dengan paip getah oleh seorang pembantu warden asrama di Madrasah Tahfiz Al-Jauhar (MTAJ) di Kampung Lukut, Kota Tinggi, Johor.
Kedua-dua belah kaki Thaqif dipotong selepas mengalami pembekuan darah, sementara tangan kirinya dijadualkan dipotong sebelum kanak-kanak itu menghembuskan nafas terakhir.

Dr. Ahmad Shukri berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi gambaran bahawa 90 peratus pesakit mengalami simptom ringan manakala 10 peratus lagi lebih berat (Weil’s Disease dan Mohamad Thaqif tergolong dalam kumpulan 10 peratus ini.

Katanya, dalam golongan 10 peratus itu, penyakit leptospirosis boleh dikategorikan sebagai Weil’s Disease, apabila ia terjadi akan menyebabkan kerosaan organ dalaman seperti buah pinggang dan hati, pendarahan dan radang selaput otak.

“Kementerian Kesihatan mengumumkan punca kematian Mohamad Thaqif disebabkan leptospirosis, yang mana terdapat kulit mati (nekrosis) berwarna gelap kehitaman dan pembentukan bekuan darah mikro di seluruh saluran darah pada kaki dan tangan serta terbukti kegagalan organ dalam badan.

“Ini jelas menunjukkan satu kriteria penyakit leptospirosis tahap kronik atau Weil’s Disease,” jelas beliau.

Beliau berkata, memandangkan penyakit itu disebabkan oleh air kencing tikus, pihak berkuasa harus mengesan lokasi yang pernah dikunjungi oleh Mohamad Thaqif.

Air kencing tikus boleh tercemar pada makanan, air bertakung atau tanah, pihak berkuasa harus menyiasat tahap kebersihan pusat tahfiz yang menjadi tempat Mohamad Thaqif belajar.

Mengulas lanjut, Dr. Ahmad Shukri berkata, dalam prosedur bedah siasat, hasil laporannya perlu diserahkan kepada polis kerana ia adalah bahan bukti mahkamah.

“Perdim percaya hasil bedah siasat yang dijalankan kerana Kementerian Kesihatan mempunyai piawaian dalam tatacara mengendalikan jenazah untuk bedah siasat seperti yang termaktub dalam Kanun Prosedur Jenayah, Garis Panduan Bedah Siasat Mayat di Hospital dan Akta Tisu Manusia 1974,” ujar beliau. – MalaysiaGazette