Prabagaran Srivijayan

SINGAPURA – Penjara Changi telah melaksanakan hukuman mati ke atas seorang warga negara Malaysia selepas didapati bersalah mengedar 22.24 gram heroin atau diamorphine ke negara itu pada tahun 2012.

Prabagaran Srivijayan ditangkap pada April 2012 di Woodlands Checkpoint selepas dua paket dadah itu ditemui dalam kereta yang dipandunya, Biro Narkotik Pusat dalam satu kenyataan.

Mahkamah tertinggi Singapura semalam telah menolak usul untuk menghentikan hukuman mati ke atas Srivijayan, 29.

Beliau telah dijatuhi hukuman mati pada tahun 2014.

Peguam Prabagaran memfailkan rayuan bagi melengahkan hukuman itu dengan alasan anak guamnya telah membuat rayuan yang belum ditentukan Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur.

Hakim Chao Hick Tin, Andrew Phang dan Tay Yong Kwang berkata, usaha menghentikan hukuman ke atas Prabagaran di negara lain adalah “satu penyalagunaan proses”.

Akta Penyalahgunaan Dadah di Singapura memperuntukkan hukuman mati jika jumlah diamorphine diimport melebihi 15 gram.

CNB melaporkan 22.24 gram diamorphine bersamaan dengan kira-kira 1,853 straw, yang mencukupi untuk diberi kepada 265 penagih selama seminggu. – MalaysiaGazette