Harga minyak masak didakwa meningkat sejak kebelakangan ini. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengguna (IHP) keseluruhan meningkat 3.6 peratus pada asas tahun ke tahun bagi bulan Jun 2017 berbanding dengan kenaikan 3.9 peratus pada bulan Mei 2017.

Antara kumpulan utama yang mencatatkan peningkatan adalah indeks pengangkutan (+10.5 peratus), makanan dan minuman bukan alkohol (+4.3 peratus), perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (+3.0 peratus), kesihatan (+2.6 peratus), restoran dan hotel (+2.5 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (+2.2 peratus).

Indeks kumpulan pengangkutan menunjukkan peningkatan yang ketara iaitu 10.5 peratus pada asas tahun ke tahun bagi Jun 2017, setelah naik 13.1 peratus pada Mei 2017. Harga purata seliter petrol RON95 adalah RM2.00 pada Jun 2017 iaitu lebih tinggi berbanding RM1.70 pada Jun 2016.

Bagi petrol RON97, harga purata adalah RM2.27 pada Jun 2017 berbanding RM2.05 pada Jun 2016. Kelas perbelanjaan bahan api dan pelincir untuk pengangkutan persendirian menyumbang 7.8 peratus daripada wajaran IHP.

Jabatan Perangkaan berkata, indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol yang menyumbang 30.2 peratus kepada wajaran IHP, meningkat 4.3 peratus pada Jun 2017.

Kenaikan ini didorong oleh indeks subkumpulan makanan minyak dan lemak (+39.4 peratus), ikan dan makanan laut (+7.2 peratus), daging (+4.2 peratus), buah-buahan (+3.7 peratus) dan sayur-sayuran (+1.8 peratus).

Bagi indeks Makanan di Luar Rumah, ia terus meningkat pada Jun 2017, dengan kenaikan 4.8 peratus.

Antara indeks barangan makanan yang mencatatkan kenaikan yang ketara dalam bulan Jun 2017 berbanding tempoh yang sama tahun lepas adalah minyak masak (+48.9 peratus), ikan Cencaru (+11.8 peratus), bayam (+9.8 peratus), ikan Kembong (+9.1 peratus), sotong (+7.8 peratus), udang (+7.4 peratus), tembikai (+5.9 peratus), ikan Tenggiri (+5.2 peratus), sawi (+4.7 peratus) dan ayam (+3.3 peratus).

Sementara itu, penurunan telah dicatatkan dalam indeks bagi beberapa barangan makanan seperti lobak merah (-14.3 peratus), telur ayam (-6.5 peratus), kobis bulat (-5.3 peratus) dan bawang besar (-1.9 peratus).

Kenaikan indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol dicerminkan di kebanyakan negeri di Malaysia terutamanya di negeri-negeri dengan tahap perbandaran yang tinggi seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Pulau Pinang, Johor dan Melaka.

Enam negeri mencatatkan kenaikan yang lebih tinggi bagi indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol melebihi paras indeks nasional bagi Jun 2017 berbanding bulan yang sama tahun 2016.

Indeks bagi kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol naik 5.1 peratus di Melaka, 5.1 peratus di Johor, 4.8 peratus di Pulau Pinang, 4.8 peratus di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 4.6 peratus di Kedah & Perlis dan 4.5 peratus di Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Perbandingan bulan ke bulan, indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol naik 0.4 peratus pada Jun 2017, setelah naik 0.5 peratus pada Mei 2017.

Sementara itu, indeks kumpulan bukan makanan turun 0.4 peratus pada Jun 2017 berbanding bulan sebelumnya.

Menurutnya, inflasi teras naik 2.5 peratus bagi Jun 2017 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada peningkatan kadar inflasi teras adalah kenaikan harga bagi kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol (+4.1 peratus), pengangkutan (+3.3 peratus), perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (+3.0 peratus), kesihatan (+2.6 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (+2.7 peratus).

IHP bagi tempoh Januari hingga Jun 2017 mencatatkan kenaikan sebanyak 4.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol merupakan pendorong utama kepada kenaikan IHP bagi tempoh Januari hingga Jun 2017, mencatatkan peningkatan 4.2 peratus.
Peningkatan ini adalah disebabkan kenaikan indeks makanan di rumah (+4.3 peratus) dan makanan di luar rumah (+4.4 peratus).

Manakala indeks kopi, teh, koko dan minuman bukan alkohol turun 0.4 peratus. Antara subkumpulan makanan di rumah yang mengalami kenaikan signifikan dalam tempoh ini seperti minyak dan lemak (+38.7 peratus), ikan dan makanan laut (+6.1 peratus), sayur-sayuran (+4.4 peratus), daging (+4.0 peratus) dan buah-buahan (+3.1 peratus).

Kumpulan utama lain yang menyumbang kepada kenaikan IHP dalam tempoh ini ialah pengangkutan (+14.8 peratus), perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (+3.0 peratus), kesihatan (+2.6 peratus), restoran dan hotel (+2.3 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (+2.2 peratus).

Inflasi teras, yang mana tidak termasuk item makanan segar dengan harga paling tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan harga dikawal mencatatkan perubahan dalam julat antara 2.3 peratus hingga 2.6 peratus dalam tempoh Januari hingga Jun 2017 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya. – MalaysiaGazette