77.8 peratus responden bersetuju bahawa ekonomi Malaysia sedang mengecut, 16.2 peratus berpendapat ekonomi Malaysia tidak mengalami perubahan dan enam peratus melihat ekonomi Malaysia sedang mengembang. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Kelembapan ekonomi telah memberi tamparan kepada golongan makan gaji dengan 33.8 peratus responden yang menerima soal selidik Universiti UCSI mendedahkan bahawa pendapatan mereka berkurangan.
Selepas menerima kesan inflasi, pengurangan pendapatan dan tiada kenaikan gaji, golongan pekerja juga risau akan kehilangan kerja.
Kajian oleh UCSI yang memfokus kepada golongan berpendapatan sederhana telah disertai oleh 216 responden.
Sinchew Daily melaporkan, daripada 33.8 peratus yang mendedahkan bahawa sumber pendapatan mereka mengecut, 25.9 peratus menyatakan pengecutan adalah melebihi kadar lima peratus manakala 7.9 peratus mengalami pengecutan kurang daripada kadar lima peratus.
Sebanyak 20.9 peratus pula mengalami peningkatan pendapatan dalam tempoh setahun yang lalu.
77.8 peratus responden bersetuju bahawa ekonomi Malaysia sedang mengecut, 16.2 peratus berpendapat ekonomi Malaysia tidak mengalami perubahan dan enam peratus melihat ekonomi Malaysia sedang mengembang.
Responden berpendapat bahawa enam faktor telah mendorong peningkatan kos sara hidup: cukai barang dan perkhidmatan (GST) kelemahan nilai ringgit, pengecutan ekonomi, pengurangan subsidi, penurunan permintaan dan persaingan sengit dalam perniagaan.
Majoriti responden berharap kerajaan akan mengawal harga barang di pasaran.
Kajian yang dilakukan Sinchew Daily pula mendapati 86.4 peratus responden berpendapat bahawa kadar kenaikan gaji mereka gagal mengejar kadar inflasi. – MalaysiaGazette