Home Ekonomi Brent lepasi sasaran AS$50 setong

Brent lepasi sasaran AS$50 setong

NEW YORK – Minyak naik 3.3 peratus untuk penutup dagangan tertinggi dalam tempoh lebih daripada sebulan.

Kenaikan harga bahan api itu selepas pengeluar minyak Amerika Syarikat, Anadarko berkata, ia akan mengurangkan pelan perbelanjaan modal manakala Arab Saudi pula berikrar untuk mengurangkan eksport minyak mentah untuk mengekang lebihan minyak.

Niaga hadapan minyak mentah Brent naik AS$1.60 atau 3.3 peratus kepada AS$50.20 setong, kali pertama penanda aras ditutup melebihi AS$50 sejak 6 Jun.

Niaga hadapan Texas West Intermediate naik AS$1.55 atau 3.3 peratus kepada AS$47.89 setong, penutupan tertinggi untuk penanda aras itu sejak awal bulan Jun.

Harga minyak yang lebih rendah pada bulan Jun dan Julai mungkin menjejaskan pengeluaran syal Amerika Syarikat, kata Mark Watkins, pengurus pelaburan serantau di sebuah bank Amerika Syarikat.

“Firma-firma minyak tidak melakukan penggerudian secepat seperti pada awal tahun 2017 kerana ia kurang menguntungkan memandangkan harga di bawah AS$40 setong,” katanya.

Pada hari Isnin, Anadarko Petroleum Corp mencatatkan kerugian suku tahunan yang lebih besar daripada yang dijangkakan dan berkata ia akan mengurangkan bajet modal 2017 sebanyak AS$300 juta kerana tekanan harga minyak.

Terdahulu, pengerusi eksekutif Halliburton berkata, pertumbuhan pelantar-pelantar minyak di Amerika Utara “menunjukkan tanda-tanda tidak berubah.”

Menteri Tenaga Arab Saudi, Khalid al-Falih semasa mesyuarat OPEC awal minggu ini berkata,negaranya akan mengurangkan eksport mentah kepada 6.6 juta setong sehari pada bulan Ogos, turun hampir 1 juta setong berbanding tahun sebelumnya.

Nigeria bersetuju untuk menyertai perjanjian itu dengan mengurangkan pengeluaran 1.8 juta tong sehari sebaik sahaja ia stabil pada tahap tersebut.

OPEC berkata, stok-stok minyak di negara-negara perindustrian telah jatuh sebanyak 90 juta tong dalam enam bulan pertama tahun ini tetapi masih terdapat 250 juta tong dengan purata lima tahun, yang merupakan tahap sasaran OPEC dan bukan ahli OPEC. – MalaysiaGazette