Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan merasmikan Pos Maritim Malaysia Batuan Tengah dan menamakan pos berkenaan secara rasmi sebagai 'Abu Bakar Maritime Base'.

JOHOR BAHRU – Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini berkenan merasmikan Pos Maritim Malaysia Batuan Tengah di Kota Tinggi dan menamakan pos berkenaan secara rasmi sebagai ‘Abu Bakar Maritime Base’.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Zulkifili Abu Bakar, Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jen (B) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Projek Abu Bakar Maritime Base dibina di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 dan pembinaan bermula pada 16 April 2012 dan siap sepenuhnya pada 29 Ogos 2016.

Pada 8 November 2016, MKN bersama Jabatan Kerja Raya telah menyerahkan Abu Bakar Maritime Base ini kepada Maritim Malaysia sebagai pengguna yang bertanggungjawab untuk mengoperasikan pangkalan ini.

Abu Bakar Maritime Base didirikan di atas Batuan Tengah yang terdiri daripada dua struktur batuan dengan jarak 316.6 meter di antara satu sama lain dan terletak di bahagian timur permulaan Selat Singapura dan Barat Laut China Selatan.

Batuan di tengah-tengah laluan maritim yang sibuk itu terletak kira-kira 15 kilometer dari pesisir pantai Johor dan satu kilometer dari Batu Puteh.

Pengoperasian pangkalan juga telah diaktifkan 24 jam sepenuhnya oleh seramai 3 Pegawai dan 14 Anggota Penguat Kuasa Maritim Malaysia.

Zulkifli dalam ucapannya berkata, Abu Bakar Maritime Base merupakan projek MKN bagi menzahirkan kedaulatan negara ke atas Batuan Tengah.

Selain itu, tambahnya, ia juga bagi menjaga kepentingan keselamatan kawasan perairan di sekitarnya, mengawal keselamatan perairan negara (security and safety), melaksanakan Marine Scientific Research (MSR) serta menjaga kepentingan kawasan perikanan untuk golongan nelayan tradisional Pantai Timur Johor.

“Abu Bakar Maritime Base turut dilengkapi sistem peralatan terkini seperti Remote Surveillance System, Solid Waste System, Small Sewerage Treatment System, Rainwater Harvesting System, Reverse Osmosis System dan Climate Station System.

“Kesemua sistem diaplikasikan ke atas pangkalan dan ia adalah untuk memantapkan lagi pengoperasian di samping memastikan alam sekitar sentiasa terjaga dan terpelihara serta mesra pengguna,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, Maritim Malaysia merupakan pengguna utama pangkalan itu dan ia turut diguna bersama Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Perikanan Malaysia, Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Alam Sekitar, Universiti Kebangsaan Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta terdapat juga kemudahan wakaf dan jeti bagi kegunaan nelayan tempatan. – MalaysiaGazette.