{Para peserta yang hadir pada Sesi Penyampaian dan Dialog Menyurat Wasiat Yang Tersirat di Hotel Marriott, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI 5 OGOS 2017

KUALA LUMPUR – Sekiranya orang Melayu lemah, keharmonian nasional masyarakat berbilang kaum dan agama yang sudah terbentuk sejak merdeka akan terjejas, kata Tan Sri Mohd Yusof Hitam.

Pengerusi Lembaga Peradaban Melayu (ADAB) itu menekankan betapa pentingnya untuk orang Melayu menjadi kuat dan terus bersatu padu kerana kesannya juga akan terkena tempias kepada kaum lain yang juga merupakan rakyat Malaysia.

“Pokok pangkalnya, foundation (asas) kesatuan dan penyatuan negara ini bergantung kepada kesatuan dan penyatuan orang Melayu sendiri,”kata beliau semasa ditemui dalam bengkel sempena Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara Ke Arah Wasiat Lebih Tersurat di Hotel Marriot Putrajaya semalam.

Tegas Mohd. Yusof, generasi anak muda khususnya perlu menyedari hakikat orang Melayu perlu bersatu padu kerana terlalu banyak tekanan daripada dalam dan luar negara yang sentiasa cuba meruntuhkan sendi-sendi negara.

“Anak muda majoritinya menerima betapa pentingnya perkara ini ditimbulkan sekarang ini oleh kerana tekanan dalam dan luar negeri yang melemahkan sendi-sendi keharmonian nasional

“Orang lama-lama ini tidak dapat mempengaruhi orang muda tapi dapat untuk membantu menyedarkan betapa pentingnya masalah yang utama dalam wasiat tujuh itu kepada penyatuan rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau juga menasihati masyarakat bukan Melayu agar tidak terus menerus cuba mencabar kaum Melayu dengan berterusan mempertikaikan kedudukan dan hak orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan kerana ia hanya memberi rasa kurang senang di kalangan masyarakat yang berbilang kaum dan agama yang hidup di Malaysia.

“Kalau orang Melayu sendiri tidak dapat memahami atau menerima apa-apa yang hak kepada dia, masih dipertikai orang lain itu bercanggah maka keharmonian kita akan terjejas, ini tidak tak terpisah dengan keharmonian nasional dan ini adalah fundamental,” katanya.

Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara Ke Arah Wasiat Lebih Tersurat di Hotel Marriot Putrajaya bermula semalam.

Konvensyen dua hari anjuran Panel Perunding Perpaduan Ummah (PPPU)-Majlis Dakwah Negara adalah bagi membuka ruang wacana tentang peranan institusi Raja menurut yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan perundangan negara, berperanan sebagai payung penyatuan dan perpaduan seluruh rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette