PUTRAJAYA – Jemaah Menteri telah membuat keputusan untuk membincangkan semula dengan pihak majikan dan pekerja berhubung pelaksanaan Sistem Insurans Pekerjaan (EIS).
Sinchew Daily melaporkan, Kabinet berpendapat bahawa rang undang-undang yang sudah dibawa ke Dewan Rakyat itu perlu dibincangkan semula dan mendengar pandangan majikan.
Empat menteri iaitu Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Menteri Kewangan II), Datuk Seri Richard Riot (Menteri Sumber Manusia), serta Datuk Paul Low dan Datuk Seri Wee Ka Siong (masing-masing Menteri di Jabatan Perdana Menteri) diberi tanggungjawab untuk berbincang dengan pihak berkepentingan.
Media melaporkan bahawa insurans berkenaan akan memberi manfaat selama tiga hingga bulan kepada mereka yang kehilangan sumber pendapatan.
Manfaat yang ditawarkan termasuk pemberian elaun cari kerja dan elaun latihan kepada mereka yang berhenti kerja atas sebab-sebab khusus.
Di bawah rang undang-undang yang dibentangkan, pekerja dan majikan perlu membayar premium antara 10 sen dan RM29.65.
Bayaran premium untuk insurans itu dilaporkan adalah ditanggung separuh masing-masing oleh majikan dan pekerja.
Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) berpendapat insurans itu membebankan majikan.
Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan justeru  mengalu-alukan skim insurans berkenaan dirundingkan semula memandangkan kerajaan tidak berbincang dengan MEF sebelum ia dibawa ke Parlimen.
Katanya, pelbagai keraguan dalam EIS perlu diperjelaskan terlebih dahulu.
Menurutnya, pihak berkuasa tidak menjalankan konsultasi membabitkan tiga pihak iaitu kerajaan, majikan dan pekerja.
Dalam pada itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdul Halim Mansor berkata, pihaknya berasa sedih dengan pusingan-U dalam pelaksanaan EIS.
Katanya, kerajaan harus terus membentang rang undang-undang berkenaan untuk menjadikan EIS sebahagian daripada undang-undang negara. – MalaysiaGazette