ALOR SETAR – Polis Kedah mengesahkan pegawai polis berpangkat Inspektor yang ditemui di tandas wanita di sebuah pusat beli-belah dekat sini dalam keadaan separuh bogel Selasa lepas, mengalami masalah mental.

Ketua Polis Kedah Datuk Asri Yusoff berkata pegawai polis yang berusia 32 tahun itu dihantar ke hospital setiap hari untuk mendapatkan rawatan sejak beberapa bulan lepas, selain disahkan berada di bawah pengaruh halusinasi ketika kejadian itu berlaku.

“Pegawai ini turut mempunyai rekod perkhidmatan yang buruk seperti sering hilang dari pejabat, tidak menjalankan tugasan yang diberikan serta beberapa lagi kesalahan disiplin yang lain,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini Khamis.

Insiden berkenaan tular di media sosial apabila ia memaparkan seorang wanita merakam pegawai polis berkenaan yang hanya memakai seluar dalam berada di dalam tandas wanita dalam keadaan khayal.

Wanita itu mendakwa pegawai polis berkenaan memasuki tandas ketika dia sedang membuang air besar.

Asri berkata pegawai polis itu juga sebenarnya bertugas di Bilik Gerakan IPK Kedah dan bukannya di Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) seperti yang dilaporkan dalam akhbar sebelum ini. – BERNAMA