Gambaran kawasan Pelabuhan Kuantan yang dipenuhi dengan warna merah akibat debu-debu bauksit dan lori keluar masuk yang membawa muatan bauksit semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette ke kawasan pemindahan bijih mineral dan perlombongan bauksit di Pelabuhan Kuantan, Pahang. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 07 JANUARI 2016

KUANTAN – Kerajaan Pahang akur dengan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita keseluruhan simpanan bauksit di sini yang berjumlah lebih 10 juta tan.

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata SPRM sudah pasti mempunyai sebab yang kukuh sebelum mengambil tindakan yang difikirkan sesuai untuk menyelesaikan masalah berkaitan perlombongan bauksit haram di negeri ini.

“Sejak moratorium dilaksanakan, kawalan bukan lagi di bawah saya atau kerajaan negeri. Semuanya di bawah kerajaan persekutuan iaitu Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, biar mereka yang uruskan.

“Tapi saya percaya SPRM ada sebab-sebab dan alasan yang kukuh. Mereka telah dapatkan maklumat dan sudah tentukan bahawa hanya ini sahaja caranya dan kita kena akur,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jentera Pilihan Raya Pemuda UMNO Pahang di sini, hari ini.

Adnan berkata demikian semasa diminta mengulas kenyataan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki semalam, bahawa mereka akan menyita stok bauksit bagi menghalang bahan itu dibawa keluar bagi apa juga tujuan.

Sejak awal minggu lalu, SPRM kembali aktif dalam penyiasatan berkaitan perlombongan bauksit termasuk melancarkan operasi khas, selepas mendapati aktiviti itu masih berjalan di Bukit Goh dan Bukit Sagu di sini walaupun moratorium telah dilaksanakan sejak 15 Jan 2016 dan hanya akan tamat pada 31 Dis depan.

Selain itu, Adnan juga mahu supaya insiden 10 kakitangan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang ditahan SPRM dalam siasatan rasuah berkaitan perlombongan bauksit haram tidak dikaitkan dengan jabatan itu tidak menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

“IBR masih baharu dan kita (kerajaan negeri) juga baru tandatangani. Kita tak boleh salahkan sesiapa dalam hal ini. Saya harap bila kerajaan negeri dah tandatangani (IBR), agensi lain akan ikut. Tapi jangan kita kaitkan PTG tak tandatangani IBR dengan siasatan SPRM,” katanya.

Pada 3 Ogos lalu, Pengarah SPRM Pahang Datuk Alias Salim mengesahkan bahawa PTG Pahang masih belum menandatangi IBR, dan kenyataan itu dikeluarkan semasa sembilan kakitangan agensi tersebut ditahan kerana disyaki menerima rasuah untuk melindungi pelombong bauksit haram.

Mengulas permintaan Pemuda UMNO Pahang supaya permohonan membeli rumah ditambah baik bagi memudahkan golongan muda memiliki kediaman sendiri, Adnan berkata kerajaan persekutuan telah mengambil inisiatif menerusi konsep sewa beli yang dilaksanakan di beberapa tempat.

Bagaimanapun, beliau berpendapat konsep itu boleh diperluaskan lagi termasuk di Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang, tertakluk kepada persetujuan daripada kerajaan persekutuan.

“Jika kerajaan persekutuan setuju dengan konsep ini, kerajaan Pahang sedia untuk mengikut kerana isu pembelian rumah melibatkan pinjaman bank dan institusi kewangan ini di bawah kerajaan persekutuan.

“Tapi jika ia boleh dilaksanakan, lebih ramai golongan muda dapat membeli rumah kerana di Pahang ada 37,000 PR1MA Pahang yang berharga RM150,000 telah siap untuk dibeli, namun ada golongan ini yang hadapi masalah untuk mendapatkan pinjaman bank,” katanya.

— BERNAMA