Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Industri penerbangan Malaysia dijangka menyaksikan pertumbuhan trafik penumpang antara 7.8 dan 8.8 peratus atau peningkatan kepada 98.3 juta dan 99.2 juta penumpang pada tahun ini.

Dalam kenyataannya di sini hari ini, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) berkata, perkembangan positif itu didorong oleh permintaan kukuh perjalanan udara disebabkan oleh penurunan tambang terutamanya bagi laluan antarabangsa sejak beberapa tahun lalu.

Malaysia Airlines juga dijangka meningkatkan kapasiti mereka sebanyak 14.3 peratus sepanjang tahun.

“Industri penerbangan Malaysia dijangka terus berkembang pada 2017.

“Menurut Laporan Industri Mavcom pertama, Waypoit, pertumbuhan trafik penumpang pada tahun ini dijangka mengatasi kadar pada 2016 sementara tambang mula merosot sejak 2010,” katanya.

Waypoint yang diterbitkan hari ini disasarkan untuk menyediakan jangkaan industri penerbangan Malaysia serta menyediakan komen mengenai isu-isu semasa yang menjejaskan sektor.

Menurut Mavcom, Malaysia yang merupakan pasaran penerbangan ketiga terbesar di Asean dari segi trafik penumpang telah menyaksikan kesalinghubungan dalam destinasi-destinasi antarabangsa.-MalaysiaGazette