Home Dunia Isteri Mugabe didakwa pukul wanita gagal hadir mahkamah

Isteri Mugabe didakwa pukul wanita gagal hadir mahkamah

Gabriella Engels menunjukkan dahinya yang luka berdarah dipukul oleh Grace Mugabe. foto Agensi

CAPE TOWN – ┬áIsteri kedua Presiden Zimbabwe, Grace Mugabe masih gagal tampil di mahkamah Afrika Selatan atas kes serangan seorang wanita.

Polis Afrika Selatan berkata, mereka tidak tahu di mana Grace berada.

Beberapa agensi berita mengesahkan Grace sudah balik ke Zimbabwe.

Seorang wanita Afrika Selatan yang berusia 20 tahun mendakwa Grace memukulnya di kepala dengan wayar tambahan di sebuah hotel.

Bagaimanapun, Grace, yang merupakan isteri kedua Presiden Robert Gabriel Mugabe belum mengulas mengenai kejadian itu.

Mangsa, Gabriella Engels mendakwa Grace, 52, memukulnya selepas mendapati dia dan dua anak lelakinya berada di bilik hotel di Sandton, di pinggir bandar Johannesburg.

Serangan itu dilaporkan berlaku pada petang Ahad.

Siasatan kes itu belum selesai, kata jurucakap polis Vishnu Naidoo.

Menteri Politik, Fikile Mbalula sebelum ini berkata, Grace telah menyerahkan dirinya kepada polis tetapi tidak ditangkap dan akan muncul di mahkamah pada hari Selasa.

Beberapa jam kemudian, Naidoo menjelaskan: “Menteri itu kemudian memaklumkan Grace tidak hadir”.

Dalam temuramah dengan berita News24 di Afrika Selatan, mangsa memberitahu, dia dan seorang rakan telah melawat anak-anak lelakinya, Robert dan Chatunga di Capital 20 West Hotel.

“Apabila Grace masuk, saya tidak tahu siapa dia,” katanya kepada News24.

“Dia berjalan dengan wayar tambahan dan kemudian memukul saya secara berulang-ulang.

Saya terkejut … saya merangkak keluar bilik sebelum saya dapat melarikan diri.

“Sepuluh pengawalnya hanya berdiri sambil menonton, tiada siapa yang melakukan apa-apa, tidak ada yang cuba membantu saya.

“Ada darah di mana-mana, di atas lengan, di rambut saya, di mana-mana sahaja,” kata mangsa.

Engels berkata, seorang pengawal peribadi meminta beliau dan rakannya menunggu di bilik berasingan, selepas serangan itu berlaku.

Polis dalam satu kenyataan Isnin lalu mengesahkan seorang wanita Afrika Selatan berusia 20 tahun yang tidak bernama telah membuat laporan polis kerana diserang.

Dalam laporan itu, mangsa mendakwa diserang oleh seorang wanita terkemuka di sebuah hotel di Sandton, tetapi kenyataan itu tidak menamakan Grace. – MalaysiaGazette