Mohd Ridzuan Abdullah

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli UMNO tidak perlu terburu-buru membuat keputusan untuk menyertai Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (Pekira) kerana parti itu sememangnya mendokong perjuangan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Presiden Pekira, Mohd Ridzuan Abdullah berkata, Pekira tidak mahu merugikan UMNO dan BN kerana parti itu jelas memihak kepada kerajaan sedia ada.

“Sebelum ini saya ada nyatakan bahawa kita akan menapis pengambilan ahli yang akan dibawa masuk menyertai Pekira.

“Kita tidak mahu ada pihak menjadikan parti ini sebagai batu loncatan atau untuk kepentingan tertentu untuk mendapatkan sesuatu.

“Pekira ini diwujudkan untuk memberi sokongan kepada kerajaan dalam meneruskan agenda ekonomi negara khususnya terhadap golongan usahawan,” katanya kepada pekira.com hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Ridzuan berkata, Pekira mendapat banyak permohonan daripada ahli UMNO yang rata-rata menegaskan mereka berminat untuk menjadi ahli selepas melihat perbezaan perjuangan parti itu.

Lebih meyakinkan lagi kata beliau, mereka berpendapat perjuangan membela nasib rakyat terutama dalam memperkukuhkan ekonomi termasuk kos sara hidup merupakan perkara penting dalam kehidupan pada hari ini.

Justeru, beliau berharap agar ahli UMNO dapat memahami hala tuju Pekira yang sememangnya berjuang demi kepentingan UMNO dan BN khusus untuk rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette