KUALA LUMPUR  – Gara-gara kedegilan tiga warga Malaysia yang bergaduh dan merosakkan sebuah asrama di Osaka, Jepun pihak hotel berkenaan telah menggunakan khidmat peguam bagi menuntut kerugian terhadap ketiga-tiga mereka.

Menerusi kenyataan dalam facebook rasmi asrama berkenaan Vitti Lodge & Family Apartment telah menyenaraikan lima kesalahan.

Antaranya kerosakan dinding, kerosakan bilik air kerana telah membuang air berak di bilik mandi, kerosakan perabot, penipuan tiket kapal terbang kerana tertinggal pesawat dan melakukan keganasan terhadap pekerja premis.

Selain itu pihak hotel berkenaan turut membuat laporan polis berhubung kejadian.

Dalam kejadian 17 Ogos lalu, tiga rakyat  Malaysia tersebut telah tertinggal pesawat pulang ke Malaysia dan mereka menambah jumlah hari penginapan dengan cara menipu.

Pertelingkahan terjadi setelah salah seorang pekerja asrama yang merupakan warga Malaysia telah dikasari oleh salah seorang daripada mereka.

Salah seorang daripada mereka yang dikenali sebagai Ramadhan telah membuat laporan polis yang dimuatkan dalam instagramnya.

Laporan itu bagaimanapun hanya untuk perlindungan terhadap keselamatan dirinya setelah video berdurasi enam minit 26 saat tular di laman sosial.

Ramadhan turut membuat video berdurasi 56 saat menjelaskan dia bertindak berkenaan kerana tidak berpuas hati dengan pekerja asrama berkenaan yang bernama Qayyum.

Tinjauan di laman facebook asrama berkenaan mendapati asrama berkenaan sering mendapat perhatian pelancong dari Malaysia dan facebook berkenaan mempunyai posting dalam bahasa Malaysia untuk promosi.

Bagaimanapun menerusi salah satu posting yang dimuatnaik menulis asrama berkenaan sedang menimbang untuk tidak membenarkan rakyat Malaysia menginap di asrama berkenaan setelah Korea dan China.- MalaysiaGazette