Home Nasional Tembak polis: 2 lelaki direman

Tembak polis: 2 lelaki direman

JITRA – Dua lelaki ditahan reman tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasatan kes seorang pegawai rendah polis maut ditembak di Taman Sri Hosba, Changlun di sini, Jumaat lepas.

Perintah reman sehingga 26 Ogos terhadap lelaki masing-masing berumur 30 dan 36 tahun itu dikeluarkan Majistret Kanan Mahkamah Jitra Mohd Hadi Hakimi Harun.

Dalam kejadian 10.25 malam itu, mangsa Sub Inspektor Abu Hashim Ismail, 54, yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, meninggal dunia di tempat kejadian selepas terkena empat daripada enam das tembakan yang dilepaskan ke arahnya.

Ketua Polis Kedah Datuk Asri Yusoff dalam sidang media semalam berkata, Abu Hashim sedang berbual di perkarangan rumah rakannya sebelum datang seorang lelaki yang bertindak melepaskan enam das tembakan dari luar pagar.

Untuk rekod sehingga kini polis telah menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan kes itu dengan seorang lagi lelaki berusia 35 tahun turut ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam. – MalaysiaGazette