Home Dunia Big Ben di Istana Westminster disenyapkan hingga tahun 2021

Big Ben di Istana Westminster disenyapkan hingga tahun 2021

LONDON – Big Ben atau menara jam besar di Istana Westminster yang menjadi simbolik ikonik bandaraya London akan disenyapkan sehingga tahun 2021.

Menurut BBC News, penutupan itu bagi memberi laluan untuk kerja-kerja baik pulih.

Bunyi loceng tengahari semalam merupakan bunyi terakhir sebelum kerja-kerja dijalankan.

Orang ramai termasuk pelancong bersorak meraikan detik kenangan itu.

Bagaimanapun loceng berkenaan akan tetap digunakan dalam upacara khas seperti sambutan tahun baru.

Keputusan untuk menghentikan sementara bunyi loceng itu bagi melindungi para pekerja daripada terdedah dengan bunyi kuat sepanjang kerja baik pulih.

Keputusan menutup jam loceng itu menjadi perdebatan kerana tempoh yang agak lama dan ahli parlimen tidak dimaklumkan ia mengambil masa sehingga empat tahun.

Perdana Menteri Britain, Theresa May berkata, ia seperti sesuatu yang tidak kena apabila jam loceng tersebut senyap begitu lama dan meminta cadangan itu dikaji semula. – MalaysiaGazette