Pelari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan. foto SAFWAN MANSOR, 22 OGOS 2017

KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, hari ini mengucapkan tahniah kepada Khairul Hafiz Jantan kerana menjadi manusia terpantas di Asia Tenggara malam tadi.

Idris dalam kenyataannya berkata, kejayaan anak kelahiran Kampung Berangan Enam, Umbai, Jasin itu merupakan kebanggaan negara dan negeri itu.

“Tahniah kepada The Speedy Jantan atas kejayaan ini. Sesungguhnya kejayaan ini adalah kebanggaan negara dan Melaka,” katanya.

Malam tadi, Khairul Hafiz  meraih pingat emas acara 100 meter Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur (KL2017) di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Pelari berusia 19 tahun itu menamatkan larian dengan catatan masa 10.38 saat (s), mengatasi juara bertahan Eric Cray dari Filipina yang terpaksa berpuas hati dengan tempat kedua dengan catatan 10.43s.

Bagaimanapun, hasrat Khairul Hafiz, pemilik rekod kebangsaan dengan masa 10.18s itu gagal untuk memecahkan rekod Sukan SEA milik Suryo Agung Wibobo (10.17s) dari Indonesia yang dicatatkan pada edisi 2009 di Laos. – MalaysiaGazette