KUALA LUMPUR – Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang antara individu terawal yang mendesak supaya disiasat berhubung skandal tukaran wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) ketika pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Tan Sri Annuar Musa.
Ketua Penerangan UMNO itu berkata desakan itu dibuat sejak 1994 dan Kit Siang juga yang memberi cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan pada 2006.
“Lim Kit Siang telah membawa perkara itu di dalam parlimen tentang forex seawal tahun 1994 yakni setahun setelah dikatakan ada kerugian besar berlaku. Tapi waktu itu hatta saya dalam kabinet pun tak diberitahu dan kita merasakan waktu itu kerana perkara itu tak di brief oleh kabinet, maka kita tak tahu pun perkara itu serius sebab perkara itu dibuat di luar pengetahuan Kabinet.
“Selepas itu pada 12 tahun kemudian iaitu pada 2006 Kit Siang berucap dalam Parlimen supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) diadakan dan dia telah berikan figure yang lebih detail lagi dan dia antara orang pertama yang memberi gambaran jumlah kerugian daripada Forex Trading boleh mencecah setengah daripada reserve bank negara,” kataya dalam satu sidang media khas di PWTC hari ini.
Jelas Annuar lagi, kabinet pada 1993 tidak pernah dimaklumkan mengenai kerugian BNM dimana beliau waktu itu menjawat jawatan Menteri Pembangunan Luar Bandar sehingga tahun 1999.
“Kabinet tak diberitahu tentang perkara ini,yang tahu mungkin menteri kewangan dan PM sahaja pada waktu itu,” jelasnya lagi.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu Annuar berkata kerugian sebenar tersebut amat besar, iaitu hampir separuh daripada simpanan BNM mengalami kerugian.
“Forex adalah kerugian sebenar separuh dari reserve Bank Negara pada 1993. Ini satu peristiwa rekod dunia, besar, tak pernah ada dalam negara mengalami kerugian dalam forex trading separuh daripada reserve.
“Pada 1993, reserve bank negara kira-kira berjumlah RM60 billion, kerugian ini disahkan dalam siasatan yang sedang berjalan sekarang berjumlah RM30 billion, bermakna kerugian itu adalah kerugian sebenar yang tak boleh dapat balik sampai bila-bila. Tapi pun Malaysia masih lagi tidak bankrap.
“Tahu reserve kita berapa sekarang? Melebihi RM400 bilion di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak,” ujarnya lagi.
RCI bagi menyiasat kes kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) melalui kegiatan perdagangan mata wang asing sekitar 1990-an sedang berlangsung dan akan berakhir pada 21 September depan.
Suruhanjaya yang dipengerusikan, Tan Sri Sidek Hassan ditubuhkan pada 15 Julai lalu dan keanggotaannya mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.
RCI dijangka dapat merungkai isu-isu yang membelengu negara sejak 23 tahun lalu di mana ketika itu, negara mengalami kerugian sebanyak AS$10 bilion dalam skandal forex dan kesannya masih dialami sehingga kini.
Bidang kuasa suruhanjaya siasatan itu adalah bagi menentukan kesahihan dakwaan mengenai kerugian akibat urus niaga pertukaran mata wang asing yang dialami BNM sekitar tahun 1990-an serta implikasinya kepada ekonomi negara.
Selain itu ia juga bagi menentukan penglibatan BNM dalam aktiviti urus niaga mata wang asing yang menyebabkan kerugian tersebut adalah bertentangan dengan Ordinan Bank Pusat 1958 atau mana-mana undang-undang yang berkaitan. – MalaysiaGazette.
















