Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia beragama Islam yang tidak mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini sama seperti golongan yang tidak pedulikan maruah umatnya.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, menjadi kewajipan dan tanggungjawab kepada pengundi muslim yang cukup umur berdaftar sebagai pengundi serta mengundi pemimpin Islam untuk mentadbir negeri dan negara.

“Hanya muslim tanpa pedulikan maruah umatnya sahaja tidak mahu mengundi,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.

Abdul Hadi berkata, sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini walaupun tinggalan penjajah mensyaratkan seseorang itu mendaftarkan diri menjadi pemilih bagi membolehkan mereka mengundi.

“Apabila politik menjadi sebahagian daripada ajaran Islam, maka kewajipan memilih pemimpin adalah sebahagian daripadanya.

“Demokrasi tidak boleh dipisahkan daripada kewajiban politik yang ditegaskan oleh hukum Islam selagi tidak bercanggah dengan dasar dan konsep Islam yang sempurna, teguh dan anjal.

“Di mana mereka mengenali amalan memilih pemimpin dalam syariat Islam sehingga diadakan sistem pilihan raya, tetapi mereka memisahkannya daripada agama,” katanya.

Beliau memberitahu, negara hari ini menyaksikan ramai dalam kalangan umat Islam tidak mengambil kisah atau menganggap pilihan raya itu tidak penting

Namun, katanya, sikap itu mungkin disebabkan rasa bosan pengundi dengan banyaknya karenah yang tidak menyenangkan dalam aspek politik sehingga mereka menyerah kalah atau mencari pendekatan salah dengan tidak keluar mengundi.

“Mengundi bukan sahaja memilih pemimpin, bahkan tanggungjawab mengundi adalah melantik wakil rakyat untuk melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar yang menjadi tonggak penting dalam menjaga jati diri umat melalui kekuasaan atau bersuara dan menentukan sikap.

“Mengundi juga adalah menjadi hakim terhadap kerajaan dengan melakukan hisbah di sepanjang penggal pemerintahannya,” katanya. – MalaysiaGazette