Home Ekonomi FGV jangka pelupusan kepentingan AXA Affin selesai akhir tahun ini

FGV jangka pelupusan kepentingan AXA Affin selesai akhir tahun ini

Khairil Anuar Aziz (tengah) bercakap pada sidang media mengenai Pengumuman Keputusan Kewangan Suku Kedua Tahun 2017 Felda Global Ventures Holding Berhad di Menara FELDA, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 30 OGOS 2017

KUALA LUMPUR – Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) masih menunggu keputusan Bank Negara Malaysia untuk melupuskan kesemua kepentingan 16 peratus dalam Axa Affin General Insurance Berhad (Axa Affin).

Pegawai Bertanggungjawab FGV, Datuk Khairil Anuar Aziz berharap perkara itu dapat diselesaikan pada akhir tahun ini selepas ia tertangguh sejak tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau enggan memaklumkan organisasi yang berminat untuk membeli kepentingan FGV dalam AXA Affin.

“Kami akan maklumkan apabila urus niaga itu selesai nanti. Buat masa ini kami masih menunggu keputusan Bank Negara Malaysia.

“Keputusan bergantung kepada Bank Negara kerana ia membabitkan syarikat insurans yang terletak di bawah peraturan bank tersebut,” katanya pada sidang akhbar ketika mengumumkan prestasi kewangan berakhir 30 Jun lalu.

Pelupusan saham FGV itu adalah salah satu daripada fokus FGV bagi menumpukan kepada perniagaan terasnya dan meningkatkan produktiviti aset sedia ada.

Sebelum ini, Affin Holdings Bhd memaklumkan sedang mendapatkan kelulusan bank pusat untuk memiiki kepentingan tambahan sebanyak 7.0 peratus dalam AXA Affin pada harga RM99.09 juta.

Affin kini menguasai sebanyak 36.94 peratus dalam syarikat insurans am itu.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Affin berhasrat untuk membeli kepentingan itu daripada Felda Marketing Services Sdn Bhd, anak syarikat FGV. – MalaysiaGazette